Adenan Jemput Effendi Berbincang

Diterbitkan: Ahad, 16 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Effendi Norwawi.
Effendi Norwawi.

KUCHING: Bekas Menteri Pertanian Datuk Seri Effendi Norwawi bersedia membantu pentadbiran baharu Sarawak jika diminta berbuat demikian termasuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian jika berlaku kekosongan.

Bakal Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang mengesahkan perkara itu berkata beliau ada menghubungi Effendi kelmarin dan akan berbincang dengan Effendi berhubung peranan yang boleh dimainkan beliau dalam pentadbiran baharu negeri ini.

Adenan berkata mereka akan membincangkan beberapa perkara apabila bertemu kelak tetapi tidak menyatakan butiran lanjut.

"Saya akan bincang dengan beliau...Effendi Norwawi dialu-alukan untuk bertemu saya pada bila-bila masa.

"Apabila beliau datang bertemu saya, kami akan bincang beberapa perkara," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Persandingan Dayang Dina Masfira Abang Affendi dan Azlan Shah Patrick Ling di kediaman bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abang Ahmad Urai Abang Mohideen di sini Sabtu.

Adenan akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu pada 28 Februari ini.

Dalam laporan akhbar hari ini, Effendi berkata Adenan ada menghubungi beliau dan memintanya bertemu secepat mungkin.

Bernama sebelum ini melaporkan sekiranya Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengosongkan kerusi DUN Balingian, anak sulungnya Datuk Seri Mahmud Abu Bekir atau Effendi akan menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Satu lagi nama yang disebut ialah bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak Akit Sebli.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Effendi sudah tidak berminat untuk kembali ke arena politik.

Effendi menyertai Kabinet pada 1999 dan bersara daripada politik pada 2008.

Beliau pernah menjadi Anggota Parlimen bagi kawasan Dalat dari 1999 hingga 2004. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan