Peruntukan Terus RM100 Juta Setahun Kepada SJKT - PM

Diterbitkan: Sabtu, 15 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima buku pelan Tindakan Sekolah-Sekolah Tamil dari wakil pelajar sekolah-sekolah Tamil pada Sabtu. Turut sama Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima buku pelan Tindakan Sekolah-Sekolah Tamil dari wakil pelajar sekolah-sekolah Tamil pada Sabtu. Turut sama Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu peruntukan RM100 juta setahun kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) disalurkan terus kepada pengurusan sekolah atau Persatuan Ibu Bapa (PIBG).

Najib berkata dengan cara ini ia memudahkan segala perancangan bagi membolehkan pelaksanaannya dijalankan dengan lebih berkesan.

Sambil memberi jaminan bahawa kerajaan akan berusaha mengekalkan jumlah peruntukan yang diluluskan bagi meningkatkan kemudahan termasuk membina bangunan baharu dan pertambahan bilik darjah lebih 300 SJKT di seluruh negara, Najib mahu pelaksanaannya dipercepatkan.

"Saya tidak gembira dengan kadar pelaksanaannya. Saya tidak tahu di mana silapnya. Tanggungjawab saya di Kementerian Kewangan (Menteri Kewangan) bagi duit. Sepatutnya peruntukan diberi terus kepada sekolah untuk dilaksanakan. Jangan berebut hendak jadi kontraktor.

"Dengan kos paling efektif, laksanakan terus. Masa adalah objektif. Jangan bazirkan masa lagi," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil di sini pada Sabtu.

Perdana Menteri turut menekankan pentingnya penguasaan Bahasa Malaysia di SJKT dipertingkatkan bagi memudahkan proses pergaulan antara pelajar pelbagai kaum di sekolah menengah.

Beliau mahu tahap penguasaan Bahasa Malaysia di SJKT dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi berbanding 70 peratus ketika ini.

Bagaimanapun, Najib berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dengan penguasaannya mencapai 90 peratus.

Beliau turut percaya peningkatan penguasaan ini seterusnya akan mendorong peningkatan kemasukan kaum India di universiti dengan pengambilan yang berasaskan merit bagi melahirkan lebih ramai golongan cerdik pandai di kalangan masyarakat India menceburi bidang perubatan dan profesion lain.

Najib turut berharap semua SJKT di seluruh negara akan mempunyai tadika selaras dengan sasaran Kementerian Pendidikan terhadap pendidikan prasekolah sebagai asas yang sangat penting.

Sementara itu, Najib turut gembira kerana pelan itu yang diilhamkan sendiri oleh beliau pada Mei 2012 kini sampai ke kemuncak apabila mengumpul sebanyak 11 syor pelaksanaan dan pelan strategik bagi mentransformasi serta memperkukuh SJKT.

"Saya sedar dan kita semua semua sedar kalau nak ubah nasib dan masa depan komuniti India di Malaysia paling utama yang perlu diberi perhatian ialah bidang pendidikan dari sekolah sampai universiti termasuk dalam bidang vokasional dan teknikal.

"Pelan ini penting bagi membawa perubahan dan transformasi kepada pendidikan di SJKT seluruh negara selain turut mendapat sambutan menggalakkan daripada para pendidik," katanya.

Najib turut menarik perhatian apabila berkata pelan yang diterima itu akan diserah kepada Kementerian Pendidikan untuk disepadukan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Ini supaya tiada percanggahan antara dua (pelan) dan saya percaya ia boleh diselarikan ke arah objektif yang sama," katanya.

Sebelas syor berkenaan merangkumi aspek polisi dan isu-isu perundangan; pendidikan prasekolah, infrastruktur dan kemudahan; guru dan latihan perguruan; murid dan pencapaian akademik; kurikulum, pengajaran dan pemulihan dan kelas-kelas khas; kepimpinan, penyertaan ibu bapa dan komuniti; penempatan semula; kewangan serta pelan strategik. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan