380 Hektar Hutan Paya Gambut Di Dungun Terbakar

Diterbitkan: Sabtu, 15 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DUNGUN: Kebakaran hutan paya gambut di sekitar Kampung Tok Kah di sini semakin merebak membabitkan kawasan seluas 380 hektar dalam tempoh 20 hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Nor Azizi Che Noh berkata pihak bomba yang berusaha memadam dan mengawal kebakaran itu berdepan beberapa kekangan akibat faktor cuaca panas terik dan tiupan angin kencang yang memburukkan keadaan.

"Kita berjaya memadam kebakaran di kawasan seluas 342 hektar setakat ini, sejak kebakaran hutan itu dilaporkan bermula 26 Jan melibatkan kawasan seluas 16 hektar.

"Keluasan kawasan terbakar iaitu 380 hektar itu diperoleh daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia semalam," katanya. Katanya struktur tanah gambut yang mudah terbakar serta ketiadaan punca air dan akses jalan yang berdekatan menyebabkan operasi memadam kebakaran itu mengambil masa panjang.

Nor Azizi berkata walaupun bandar Dungun dilanda hujan pagi ini namun ia tidak meliputi kawasan kebakaran itu.

Pada Jumaat, seramai 78 anggota bomba dari Kemaman, Dungun, Kuala Berang, Kuala Terengganu dan Marang termasuk 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Dungun terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu yang disifatkan terburuk di Terengganu.

Beliau berkata memburukkan keadaan apabila terdapat kawasan yang berjaya dipadam, terbakar semula apabila pokok dan daun kering terkena bara api yang berterbangan akibat tiupan angin.

Justeru beliau meminta semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka ketika ini dan mana-mana pihak yang melakukannya boleh didenda maksimum RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan