Pekerja Agensi Pelancongan Perlu Mahir Kendali Kecemasan

Diterbitkan: Jumaat, 14 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata petugas agensi pelancongan yang membawa pelancong ke kawasan berisiko perlu memiliki kemahiran mengendalikan situasi kecemasan.

Beliau berkata Taman-Taman Sabah menyediakan forum kepada ejen pelancongan bagi memastikan keupayaan mereka menangani masalah tidak diingini yang mungkin dihadapi.

Masidi berkata, tragedi luar jangkaan yang berlaku di kawasan Taman-Taman Sabah melibatkan seorang pelancong wanita warga Jerman yang maut baru-baru ini adalah satu peringatan untuk memastikan aspek keselamatan sentiasa diperbaiki bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Dalam hal ini Taman-Taman Sabah telah memberi tindak balas yang cukup baik dalam menangani masalah (kejadian) yang berlaku," katanya ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan Taman-Taman Sabah 2012 dan 2013 di sini malam Khamis.

Sementara itu, katanya jumlah kedatangan pelancong ke setiap pulau peranginan, khususnya Taman Tunku Abdul Rahman pada satu-satu masa perlu dinilai semula bagi menjamin kebajikan serta keselesaan pengunjung dan tidak menjejaskan hidupan marin. Masidi berkata aktiviti berniaga di pulau-pulau peranginan berkenaan juga perlu diberi perhatian kerana taman-taman berkenaan bukan tempat berniaga.

Katanya bot-bot tidak berdaftar yang membawa pelancong ke pulau-pulau peranginan berkenaan juga mampu menjejaskan imej pelancongan negeri berikutan beberapa kes rompakan ke atas pelancong.

Pada majlis itu, Masidi turut melahirkan penghargaan kepada seorang pesara agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Kassim Tariffin yang telah berkhidmat 36 tahun sehingga 2013.

Beliau turut menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang dan anugerah khas pengarah kepada Kassim. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan