Denggi: Tambahan Segera Katil Di Hospital Yang Memerlukan

Diterbitkan: Jumaat, 14 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PASIR MAS: Kementerian Kesihatan akan menambah segera katil bagi hospital yang tidak mencukupi katil berikutan peningkatan mendadak pesakit kes denggi di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pegawai kementerian itu sedang memeriksa setiap hospital bagi mengenal pasti sama ada masih terdapat ruang kosong yang boleh ditempatkan katil baharu.

"Kes denggi kini meningkat dengan mendadak dan semua hospital menghadapi masalah sama iaitu tidak cukup katil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Prostar Malaysia di Hospital Pasir Mas di sini, Jumaat.

Beliau berkata jika perlu, kementerian itu akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia untuk mewujudkan khemah bagi menempatkan pesakit di hospital yang sudah tidak mempunyai ruang untuk tambahan katil, sedangkan jumlah pesakit kian bertambah.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di rumah masing-masing di samping pelbagai langkah yang diambil kementerian untuk memerangi denggi.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata lembaga pelawat di semua hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara akan membantu menggalakkan orang ramai membuat saringan penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan jantung.

"Projek perintis akan dilakukan di Pulau Pinang mulai bulan ini. Lembaga pelawat akan menghantar setiap hari 20 orang di kawasan masing-masing untuk membuat saringan kesihatan seperti penyakit diabetes, darah tinggi dan jantung, sama ada di hospital, klinik kesihatan atau Klinik 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata masih ramai yang enggan tampil membuat saringan kesihatan bagi mengesan peringkat awal penyakit tidak berjangkit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan