Adenan Satem Bayangkan Tiada Perubahan Dalam Kabinet Sarawak

Diterbitkan: Jumaat, 14 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Adenan Satem.
Adenan Satem.

KUCHING: Bakal Ketua Menteri Sarawak yang kelima Tan Sri Adenan Satem membayangkan beliau tidak akan melakukan sebarang perubahan dalam Kabinet negeri, sebaliknya hanya merombak portfolio menteri.

Sambil memberi jaminan untuk mengekalkan Kabinet yang sama demi semangat kerjasama pasukan yang sedia ada, Adenan yang akan memulakan tugas baharu itu pada 1 Mac ini, berkata beliau akan berbincang dengan anggota Kabinet mengenai perubahan portfolio menteri.

"Selama ini, kita telah bekerjasama secara berpasukan dalam keadaan susah dan senang, jadi tidak usahlah kita tukar kuda di tengah jalan.

"Kita kekal dengan pasukan yang sama tetapi akan ada perubahan portfolio menteri. Namun, saya akan terlebih dahulu berbincang dengan ahli-ahli kabinet," katanya dalam sidang media di pejabat Yayasan Sarawak di sini, Jumaat.

Adenan yang juga Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri menegaskan beliau mahu menjadi ketua menteri untuk semua rakyat Sarawak termasuk mereka dalam parti pembangkang.

"Walaupun kita berbeza pendapat dalam politik, tetapi anggapkan saya sebagai ketua menteri (Sarawak) kerana kita semua rakyat Malaysia dan Sarawak," katanya.

Rabu lepas, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan mengenai peletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Sarawak berkuat kuasa 28 Feb dan beliau akan digantikan Adenan.

Dalam sidang akhbar hari ini, Adenan yang ditemani dua anak lelakinya Abdul Aziz, 47, dan Azizul Annuar, 23, turut mengesahkan bahawa pemilihannya sebagai bakal Ketua Menteri dibuat selepas anggota-anggota Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) yang bermesyuarat Sabtu lepas memberi mandat penuh kepada Taib untuk memilih penggantinya.

"Beliau (Taib) sebenarnya tidak mahu tetapi kami (anggota-anggota MT) memaksa beliau untuk memilih...terima kasihlah kerana beliau memilih saya," katanya.

Menurutnya Taib juga tidak pernah memberitahunya yang beliau akan dilantik sebagai Ketua Menteri.

Adenan turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pelancongan dan Pembangunan Perumahan Datuk Amar Abang Haji Johari Tun Openg yang juga Timbalan Presiden PBB dan Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar yang juga Naib Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kerana menyokong pelantikan beliau sebagai bakal ketua menteri.

Dengan sokongan mereka, katanya beliau akan memastikan tidak ada perpecahan dan puak dalam PBB walaupun ada pihak luar yang mahu melihat parti tunjang komponen Barisan Nasional (BN) negeri itu berpecah belah.

Ditanya sama ada beliau dilantik sebagai ketua menteri kerana kejujurannya kepada parti dan Taib, Adenan secara berseloroh menjawab: "Terima kasih di atas pujian yang ditujukan kepada saya...saya berharap ia tidak akan membuat kepala saya besar kepala,".

Menurutnya bukan beliau sahaja yang jujur kepada parti malah pemimpin-pemimpin lain juga demikian termasuk Abang Johari dan Awang Tengah.

"Kejujuran kedua-duanya tidak sepatutnya dipersoal," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau mengerjakan umrah dengan Taib baru-baru ini, Adenan berkata pertemuannya dengan Taib di Makkah adalah secara kebetulan.

"Saya tidak ke sana bersama beliau. Saya terjumpa dengan beliau di sana. Saya memang sudah lama mahu mengerjakan umrah selepas saya pulih daripada sakit," katanya.

Adenan yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak berkata tahun lepas, beliau tidak sihat dan mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

"Syukurlah dengan kehendak Allah dan sokongan isteri dan anak-anak, saya dapat sembuh. Semasa sakit pun saya mengatakan pada diri saya bahawa kalau saya sembuh saya akan pergi mengerjakan umrah dan bersyukur niat saya itu tercapai," katanya.

Beliau turut terharu dengan pujian dan ucapan tahniah serta doa daripada Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Taib serta rakyat negeri ini berikutan diberi kepercayaan menerajui Sarawak.

Adenan turut menyangkal dakwaan dalam media sosial kononnya pelantikan beliau sudah dirancang lebih awal sehingga mengejutkan Muhyiddin dan pemimpin BN yang lain.

Ditanya mengenai cabaran yang bakal dihadapinya apabila mengetuai tampuk kerajaan negeri, Adenan berkata beliau mahu menyelesaikan konflik dalaman yang dihadapi dua parti komponen BN negeri iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Masalah dalaman parti-parti berkenaan harus diselesaikan sebelum pilihan raya negeri ke-11 pada 2016, katanya.

Dalam pada itu, katanya beliau bersedia mendengar nasihat sepanjang beliau menerajui negeri ini kelak.

Ditanya berapa lamakah beliau akan menjadi ketua menteri, Adenan berkata beliau akan menyandang jawatan itu selagi khidmatnya diperlukan.

"Dalam politik, lebih baik anda melompat keluar (berhenti) sebelum anda ditolak," katanya.- BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan