Kekukuhan PBB Tidak Memerlukan Umno Ke Sarawak - TPM

Diterbitkan: Khamis, 13 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Struktur pemerintahan yang diwujudkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak tidak memerlukan Umno untuk bertapak di negeri ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Beliau berkata seperti Umno di Semenanjung Malaysia dan Sabah, peranan PBB di Sarawak sudah seperti sebuah badan induk dengan parti-parti komponen Barisan Nasional lain di negeri ini menyokongnya untuk mewujudkan satu situasi politik yang stabil.

"Peranan yang dimainkan oleh PBB sama juga dengan peranan yang dimainkan oleh Umno di Semenanjung dan Sabah, itu boleh diteruskan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis dialog tertutup bersama wakil persatuan-persatuan pengguna, penjaja dan pembekal Sarawak di sini.

Beliau berkata gagasan BN sedia ada yang diterajui PBB dan disertai oleh rakan-rakan lain dalam BN di Sarawak sudah berjaya mencapai objektif yang turut sama dikongsi oleh Umno.

"Saya fikir tidak perlu kita menduplikasi hal yang sudah pun tercapai. Yang mustahak bukan parti itu saja tetapi objektifnya... Ia (PBB) telah capai apa yang kami (Umno) mahu capai...perpaduan, kemajuan, kemakmuran dan kestabilan. Ini yang berlaku di Sarawak," kata Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno.

Menyentuh pengunduran Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Muhyiddin berkata pemimpin veteran itu telah memberikan sumbangan yang begitu besar kepada negeri ini dan negara khususnya dalam soal memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Katanya dalam tempoh 33 tahun Taib berkhidmat sebagai ketua menteri, Sarawak tidak menghadapi masalah isu perkauman biarpun negeri ini mempunyai kumpulan etnik yang mengamalkan budaya dan agama yang pelbagai.

Menurutnya Taib juga telah berjaya membawa pembangunan yang begitu ketara di Sarawak selama beliau memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

"33 tahun perkhidmatannya itu adalah satu tempoh yang panjang dan telah pun beliau sempurnakan dengan begitu cemerlang sekali malahan tempoh itu akan menjadi legasi yang amat bernilai khususnya di Sarawak," katanya.

Muhyiddin berharap bakal Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan dapat meneruskan usaha cemerlang yang ditunjukkan oleh Taib.

Menyentuh perbincangan tertutupnya dengan pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional Sarawak di sini malam tadi, Muhyiddin berkata mereka turut membincangkan sedikit sebanyak persiapan untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan diadakan selewat-lewatnya dalam bulan Jun 2016.

"Apa yang penting adalah langkah-langkah yang perlu kita ambil untuk memastikan Sarawak terus kekal sebagai kubu kuat dan bukan sahaja simpanan tetap untuk Barisan Nasional," katanya.

Beliau yakin berdasarkan kepimpinan Taib yang lepas dan diteruskan oleh kepimpinan baharu di bawah Adenan, sokongan rakyat terhadap BN di negeri ini akan dapat diperkukuhkan lagi.

"Penting untuk Sarawak terus menjadi benteng kuat Barisan Nasional," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Kolumnis

iklan

Iklan