Pelancong China Sah Hidap H7N9, Keadaan Stabil

Diterbitkan: Rabu, 12 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seorang pelancong wanita China yang menyertai rombongan lawatan ke Sabah, disahkan menghidap selesema burung atau Avian Infleunza A (H7N9), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Menyifatkan ia sebagai kes pertama yang dilaporkan di negara ini, Dr Subramaniam berkata pesakit berusia 67 tahun dari Wilayah Guangdong itu kini sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah dan keadaannya stabil.

Beliau berkata, jangkitan virus flu N7N9 biasanya berlaku dalam kalangan unggas.

Jangkitan unggas kepada manusia hanya berlaku jika unggas telah dijangkiti dengan virus tersebut.

Risiko virus tersebut merebak dari seseorang kepada seseorang lain terlalu kecil, katanya.

"Bagaimanapun kita akan mengambil tindakan-tindakan yang perlu untuk pastikan hubungan dengan pesakit itu dikurangkan seberapa yang boleh," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementerian itu, pada Rabu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati bahawa pesakit tersebut telah menerima rawatan awal di China bagi gejala demam, batuk, selesema, sakit sendi dan lemah badan bermula 30 Jan lepas, iaitu empat hari sebelum tiba di negara ini pada 3 Februari.

Kejadian H7N9 yang berlaku pada masa ini di China merupakan kejadian kali pertama yang dilaporkan di kalangan manusia pada Mac 2013.

Sehingga kini, sebanyak 330 kes H7N9 termasuk 65 kematian yang disahkan melalui ujian makmal di kalangan manusia.

"Pemantauan WHO mendapati tiada bukti penularan dari manusia ke manusia berlaku setakat ini sebagaimana yang dilaporkan di Taiwan dimana ianya terhad kepada dua kes import sahaja tanpa penularan.

Menyentuh kes denggi pula, Dr Subramaniam melahirkan kerisauan dengan 22 kematian dari Jan hingga 10 Feb lalu, serta jumlah kes yang dilaporkan sebanyak 11,879 kes pada tempoh tersebut berbanding 3,112 kes pada tempoh sama tahun lalu.

"Kes denggi memang teruk, lebih 2,000 kes dilaporkan setiap minggu. Kita mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk menangani isu ini selain memastikan tindakan perlindungan sewajarnya diambil setiap individu," tambah beliau.

Dalam pada itu beliau juga menyifatkan Laporan Indeks Persaraan Global 2014 kendalian portal penganalisis, InternationalLiving.com, yang menyenaraikan Malaysia antara tiga negara di dunia, menyediakan khidmat penjagaan kesihatan terbaik dan berpatutan, sebagai pengiktirafan terbaik.

Laporan itu menyaksikan Malaysia di belakang Perancis dan Uruguay, selain mengetepikan negara lain seperti Sepanyol, Itali, Ireland dan New Zealand.

"Selain dari itu Malaysia juga diiktiraf di tangga ke-18 daripada 45 buah negara sebagai negara yang mempunyai perkhidmatan kesihatan yang paling efisyen oleh Bloomberg.com pada tahun lalu.

"Saya yakin prestasi ini juga meyakinkan rakyat negara lain dapatkan perkhidmatan kesihatan melalui pelancongan kesihatan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan