Balu Tragedi Lahad Datu Imbau Detik Seram

Diterbitkan: Rabu, 12 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Marlinah Utan
Marlinah Utan

PETALING JAYA: Ia umpama sebuah mimpi ngeri yang kita tidak mahu lalui dalam hidup.

Marlinah Utan berada di sebuah surau di Tawau bersama ahli-ahli Perkep (Persatuan Keluarga Polis) ketika mereka menerima maklumat bahawa anggota polis diserang di Kampung Siminul, Semporna.

Seketika kemudian, seorang isteri kepada anggota polis yang mempunyai keluarga di Semporna menerima panggilan dari lokasi tempat kejadian tembak menembak berlaku.

Ketika itu pembesar suara telefon bimbit diaktifkan.

Kumpulan isteri anggota polis itu mendengar dengan jelas bunyi tembakan.

"Ketika mereka cuba menenangkan saya, lebih banyak berita mula kedengaran bahawa beberapa anggota polis sudah tewas. Saya terus bertanya nama anggota-anggota berkenaan. Saat itu air mata sudah bercucuran.

"Saya seakan hilang kawalan apabila mendapat tahu suami saya berada di Semporna. Saya menjerit. Tolong! Suami saya ada di sana!," kata Marlinah mengenang kembali peristiwa hitam itu.

"Apabila mereka menyebut 'Tuan Michael (Padel)' Saya makin hilang kawalan.

"Saya tahu suami saya adalah salah seorang yang terkorban walaupun tiada seorang pun yang memberitahu saya. Saya tahu kerana di mana sahaja Tuan Michael berada, suami saya akan bersama. Mereka adalah kawan yang sangat rapat."

Michael dan suami Marlinah iaitu Sarjan Salam Togiran merupakan antara enam anggota polis yang terbunuh dalam serangan ke atas Kampung Simunul tahun lalu.

Hanya beberapa jam sebelum itu, Marlinah yang merasakan sesuatu yang tidak kena menghantar mesej melalui SMS kepada suaminya bertanyakan keadaannya.

"Beliau menjawab pada pukul 3 petang, 'Alhamdulillah, saya OK'. Satu jam kemudian, beliau menghubungi saya dan meminta saya mendoakan keselamatannya," kata wanita yang berasal dari Sabah berusia 40 tahun itu.

Marlinah mempunyai empat orang anak.

Anak lelaki sulung Marlinah yang berusia 16 tahun menerima tamparan hebat mengenai berita kematian bapanya.

"Sebelum ini suami saya memberitahu anak saya bahawa apabila beliau meninggal dunia, beliau ingin anak saya menguruskannya...mandikan, solat jenazah dan menguruskan pengebumiannya.

"Tapi anak saya tidak berpeluang untuk menunaikan janji tersebut," katanya.

Mayat anggota polis yang terkorban dalam insiden itu hanya diambil beberapa hari kemudian selepas pertempuran berakhir.

Marlinah berkata suaminya mahu menyertai operasi itu berikutan laporan bahawa seorang anggota polis dibunuh sehari lebih awal di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

"Katanya: 'Ini adalah mati syahid Mati," kata Marlinah.

Marlinah terus mengenang kembali mengenai suaminya.

"Beliau adalah orang yang terbaik yang saya kenal. Tetapi kadang-kadang saya terfikir, sebanyak manapun beliau menyayangi saya dan anak-anak, beliau lebih menyayangi negaranya," katanya.

Jabah Mingku Voon , isteri Ketua Unit Cawangan Khas Semporna, ASP Michael Padel pada mulanya tidak terlalu bimbang apabila pasukan suaminya terpaksa memulakan operasi terhadap maklumat kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata dari Sulu bersembunyi di Kampung Simunul .

"Sebagai isteri seorang anggota polis, saya percaya keupayaan suami saya untuk menjalankan tugas walaupun saya sedar bahawa tugasnya bukan mudah," katanya.

Walaupun semua misinya sebelum ini berjaya, kematian ASP Michael merupakan satu tamparan yang berat kepada suri rumah berusia 34 tahun itu.

"Beberapa bulan sebelum kematiannya, kami menyambut ulang tahun perkahwinan ke-13 dengan memperbaharui janji setia kami. Dia mengajak saya untuk berkahwin sekali lagi di gereja dan kami lakukan!

"Ia sesuatu yang sangat romantis...beliau memang seorang yang amat romantis," kata Jabah yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 11 tahun.

Menurut Jabah, walaupun Michael seorang yang ceria, beliau mula berkelakuan pelik tidak lama selepas ulang tahun kelahirannya ke-35.

"Beliau selalu menyebut mengenai rakan sekolah lamanya dan mula membaiki apa sahaja yang rosak di dalam rumah.

"Beliau membawa anak kami (Macliue) menonton wayang dengan sangat kerap dan menelefon keluarganya di Sarawak setiap hari," kata Jabah.

Pada hari beliau meninggalkan Tawau untuk ke Semporna pada kira-kira pukul 5 pagi, Michael amat sedih.

"Apabila beliau mengucapkan selamat tinggal saya, saya melihat beliau menangis," katanya.

Semasa operasi di Semporna, Michael akan menghubungi kami di rumah lima hingga enam kali sehari dan menghantar mesej dengan kerap.

"Panggilan terakhir yang saya terima adalah pada pukul 3 petang. Beliau memberitahu saya supaya tidak perlu bimbang. Beberapa jam kemudian, cubaan untuk menghubunginya melalui telefonnya gagal," kata Jabah.

Pada kira-kira tengah malam Ahad, sekumpulan besar pegawai dan isteri-isteri anggota polis datang ke rumahnya untuk memberitahu bahawa Michael telah cedera.

Mereka sedang menangis.

"Saya tahu dia telah meninggal dunia," katanya.

Setahun berlalu, Jabah berasa bangga dengan pengorbanan Michael dan percaya bahawa kematiannya tidak sia-sia.

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan