Projek Pembangunan Orang Asli Diteruskan - Jakoa

Diterbitkan: Selasa, 11 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan terus melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk kemajuan masyarakat Orang Asli di 852 kampung di seluruh negara dengan peruntukan RM300 juta yang diperolehi daripada kerajaan tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Sani Mistam berkata agenda pembangunan untuk kaum Orang Asli tetap berjalan seperti biasa walaupun kerajaan kini mengamalkan dasar berjimat cermat.

Memang JAKOA berusaha ke arah penjimatan perbelanjaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi ia membabitkan pengurusan lain kerana pada masa yang sama kerajaan memahami keperluan kaum Orang Asli yang masih memerlukan banyak pembaharuan dalam hidup mereka, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu Ketua Pengarah Jakoa Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Redip, Pos Hau, di sini Selasa.

Mohd Sani berkata peruntukan bagi kemajuan pendidikan Orang Asli juga meningkat kepada RM6.4 juta tahun ini daripada RM4.8 juta tahun lepas kerana kerajaan mahu melihat pelajar-pelajar kaum itu berjaya dan lebih ramai dapat melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Mohd Sani berkata keutamaan juga diberikan kepada Kelas Dewasa Kaum Orang Asli Peribumi (KEDAP) bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa betapa pentingnya pelajaran untuk masa depan anak-anak.

"Apabila mereka mengikuti kelas KEDAP hingga pandai membaca, menulis dan mengira, sudah tentu mereka dapat membimbing anak-anak mereka dan rajin menghantar anak ke sekolah, katanya.

Keciciran yang paling ramai melibatkan anak Orang Asli ialah semasa mereka melangkah dari tahun enam ke tingkatan satu kerana mereka tidak mahu berpisah dengan ibu bapa masing-masing sementara ibu bapa pula tidak begitu ambil tahu keperluan persekolahan anak-anak mereka, katanya.

Oleh itu, beliau mahu anak-anak Orang Asli yang masih berada di sekolah rendah dan menengah sekarang ini supaya mencontohi 680 pelajar kaum itu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 25 orang lagi melanjutkan pelajaran di luar negara.

"Kita harap tahun ini lebih ramai pelajar kaum ini berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA dan mengurangkan keciciran ke tahap yang paling rendah," katanya.

Mohd Sani turut melawat setiap rumah penduduk di Kampung Redip dan menyampaikan sumbangan beras sambil bertanya khabar mengenai kehidupan mereka yang menerima banyak kemudahan daripada kerajaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan