Umno Shah Alam Akan Beri Masa Kepada Teresa Kok Mohon Maaf - Berita Semasa | mStar

Umno Shah Alam Akan Beri Masa Kepada Teresa Kok Mohon Maaf

Diterbitkan: Isnin, 10 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Umno Bahagian Shah Alam membantah dan menunjukkan laporan polis menggesa Teresa kok meminta maaf secara terbuka, di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di Shah Alam, Isnin. Foto BERNAMA
Umno Bahagian Shah Alam membantah dan menunjukkan laporan polis menggesa Teresa kok meminta maaf secara terbuka, di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di Shah Alam, Isnin. Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Kira-kira 20 ahli Umno Bahagian Shah Alam di sini memberi masa kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok untuk memohon maaf berhubung kontroversi video Tahun Baharu Cina yang dikaitkan dengan beliau.

Ketua Umno Shah Alam, Azhari Shaari yang mengetuai kumpulan itu untuk membuat dua laporan polis terhadap Kok pada Isnin, berkata sekiranya pemimpin DAP itu gagal untuk membuat permohonan maaf dalam tempoh yang diberikan, beliau akan meminta badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai kumpulannya bagi mengadakan bantahan.

Azhari berkata, beliau tidak pasti apakah yang ingin dibuktikan oleh Kok menerusi video itu.

"Ia dilihat seolah beliau mengajar rakyat untuk membuat sindiran antara satu sama lain," katanya.

"Sehubungan itu, kita memberi masa kepada beliau untuk memohon maaf berhubung video itu dan sekiranya beliau terus melihat tidak apa yang salah dengan penerbitan video tersebut, kita akan meminta NGO-NGO untuk menyertai kita," katanya kepada para pemberita di ibu pejabat polis Shah Alam.

Ditanya mengenai pandangannya berhubung NGO yang menawarkan wang untuk menampar Kok ekoran penerbitan video itu, Azhari berkata, Umno tidak membiarkan tindakan yang ekstrem seumpama itu.

"Kita pastinya menentang keganasan dan saya akan pastikan tiada sesiapa pun daripada Umno akan menampar Kok.

"Jika terdapat insiden seseorang yang menampar Kok, kita percaya polis akan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Pada Khamis lalu, sekumpulan kira-kira 50 individu yang mendakwa sebagai sebahagian daripada NGO, membuat bantahan di sepanjang Jalan Tun Perak terhadap video yang dikaitkan dengan Kok.

Mereka turut menawarkan ganjaran RM500 kepada sesiapa yang berjaya menampar Kok.

Ganjaran itu kemudiannya dinaikkan kepada RM1,200.

Mereka kemudiannya menyembelih ayam dan melumurkan darah ayam itu pada poster yang memaparkan wajah Kok, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan