Pemuda Umno Muktamad KPI Awal Bulan Mac - Khairy

Diterbitkan: Ahad, 9 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin (kiri) ketika sidang media selepas majlis Penutupan Retreat Kepimpinan Pemuda Umno Malaysia di Swiss-Garden Golf Resort & Spa Damai Laut di Lumut, Ahad. -fotoBERNAMA
Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin (kiri) ketika sidang media selepas majlis Penutupan Retreat Kepimpinan Pemuda Umno Malaysia di Swiss-Garden Golf Resort & Spa Damai Laut di Lumut, Ahad. -fotoBERNAMA

LUMUT: Pemuda Umno Malaysia akan memuktamadkan indeks prestasi utama (KPI) pada mesyuarat exco awal bulan depan, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata perbincangan bersama pengerusi dan ketua pemuda Umno negeri mengenai KPI telah dijalankan sebelum ia diperhalusi oleh jawatankuasa pengurusan Umno.

"Awal bulan depan kita akan serah KPI kepada biro-biro. Saya telah maklumkan kepada biro, sasaran realistik perlu ada dalam program Pemuda Umno Malaysia yang perlu dicapai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutupan Retreat Kepimpinan Pemuda Umno Malaysia di sini Ahad.

Beliau berkata KPI yang akan diumum bulan depan itu amat spesifik kerana ia tidak hanya KPI secara umum.

"Ada KPI yang dikongsi bersama contohnya penambahan anggota, semua terlibat tetapi ada KPI-KPI yang khusus untuk biro dan negeri," katanya.

Khairy berkata KPI itu sebagai penanda aras dan sasaran bagi biro-biro dan ketua-ketua pemuda Umno negeri.

"Apa sahaja yang kita buat perlu ada kesan positif politik kepada BN, jangan melaksanakan apa yang tiada pulangan positif kepada kita," katanya.

Mengenai program Pemuda Umno Malaysia bagi tempoh tiga tahun akan datang, beliau berkata setiap biro dan negeri diminta membentangkan sasaran masing-masing mengenai pencapaian dan keberkesanan program mereka.

"Antara pembaharuan yang telah kita tekankan kali ini adalah pencapaian pemuda Umno, biro-biro, pemuda-pemuda negeri tidak hanya diukur melalui berapa banyak program yang dianjurkan tetapi daripada kesan program tersebut atau outcome daripada program yang dianjurkan oleh Pemuda," katanya.

"Kita perlu lihat daripada segi penambahan anggota, berapa orang yang dapat didaftar untuk menjadi pengundi, berapa ramai dapat dijadikan sebagai penyokong BN dan juga pemuda Umno, barulah kita lihat (kesan) program yang dirancang," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan