PRK Kajang: MCA Buat Tinjauan Menyeluruh Sebelum Putuskan Calon

Diterbitkan: Sabtu, 8 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Liow Tiong Lai.
Liow Tiong Lai.

BENTONG: MCA akan mengadakan tinjauan menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi sebelum memutuskan calon yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac ini.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkara itu penting bagi memastikan hanya calon yang diterima masyarakat kawasan itu diketengahkan bagi menjamin kemenangan BN.

Menurutnya, antara kriteria utama yang diberi penekanan ialah calon berkenaan mestilah berasal dari Selangor serta memahami kehendak masyarakat akar umbi di kawasan berkenaan.

"Setakat ini kita masih belum putuskan dan saya juga tidak berhasrat untuk berbincang mengenai senarai calon di dalam media meskipun dikatakan MCA bahagian telah menyerahkan tiga nama kepada MCA pusat, sebaliknya kita akan terus melakukan tinjauan menyeluruh bagi mengenal pasti calon yang sesuai.

"Memang kita mempunyai ramai calon berpotensi, tetapi kita hanya akan memilih calon yang mempunyai harapan dan peluang untuk menang. Calon ini akan diumumkan selepas tinjauan selesai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina MCA Bentong di Dewan Perhimpunan Cina di sini, Jumaat.

Turut hadir Pengerusi MCA Pahang Datuk Hoh Khai Mun.

MCA Bahagian Hulu Langat sebelum ini dilaporkan telah menyerahkan tiga nama kepada MCA pusat untuk bertanding.

Mereka ialah Ketua Pemuda MCA Bahagian Hulu Langat, Pang Wai Hoong; Ketua Wanita MCA bahagian itu, Loh Lai Kuen dan bekas calon BN di kerusi DUN Kajang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Lee Ban Seng.

Dua nama yang turut disenaraikan MCA pusat ialah Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun dan Ketua Pergerakan Pemuda MCA, Chong Sin Woon.

Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata, MCA telah bersiap sedia dengan merangka pelbagai strategi bagi menghadapi pilihan raya kecil yang dijangka sengit itu.

Menurutnya selain menyediakan bilik gerakan, MCA juga memberi latihan kepada pemimpin akar umbi bagi menggerakkan jentera parti dengan memberi tumpuan kepada kehendak masyarakat di Kajang.

"Dalam tempoh ini saya yakin rakyat dapat melihat dengan lebih dekat lagi pencapaian BN berbanding pembangkang dan menganalisis maklumat-maklumat tidak benar yang disebarkan oleh mereka," katanya.

Mengulas cadangan kerusi berkenaan (Kajang) diserahkan kepada Umno, Liow berkata, perkara itu terserah kepada formula BN yang selama ini dapat memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan semua kaum. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan