Azmin Gesa Khalid Henti Jadikan PKNS Senjata Politik

Diterbitkan: Sabtu, 8 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Azmin Ali
Azmin Ali

PETALING JAYA: Konflik terbuka dua pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor makin berpanjangan apabila Mohamed Azmin Ali menyifatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak melanggari undang-undang dalam isu penamatan kontrak 22 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB).

Lebih mengeruhkan keadaan apabila Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mendakwa Abdul Khalid menggunakan PKNS sebagai 'senjata politik' terhadap musuh politiknya.

"Pemecatan secara tiba-tiba kakitangan PHSB di bawah perintah Menteri Besar bukan sahaja melanggar undang-undang pekerjaan tetapi terlalu tidak berperikemanusiaan.

"Demi kepentingan keadilan dan tadbir urus yang baik, Tan Sri Abdul Khalid mesti berhenti menggunakan PKNS sebagai senjata peribadi terhadap pesaing politiknya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Selasa lalu PHSB memecat 22 kakitangannya, tanpa sebarang sebab munasabah, dengan notis 24 jam berkuat kuasa Isnin.

Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat penamatan kontrak itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa.

Sebelum ini wujud dakwaan bahawa Mohamed Azmin terlibat dalam pelantikan kakitangan PHSB yang dibuat tanpa mengikut prosedur dan menerima gaji yang tinggi.

Selain itu Mohamed Azmin yang sebelum ini turut digugurkan daripada ahli lembaga pengarah PKNS menggesa Abdul Khalid selaku pengerusi perbadanan itu membatalkan pemecatan 22 kakitangan PHSB itu.

"Ia benar-benar bercanggah dengan prinsip yang didukung oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bahawa semua pekerja perlu dilayan dengan bermaruah.

"Saya menyeru pihak berkenaan membatalkan dengan segera surat pemecatan dan meminta maaf kepada rakyat Selangor berhubung tindakan yang tidak bertimbang rasa ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan