Pasukan Keselamatan Gagalkan Dua Cubaan Kumpulan Bersenjata Ceroboh Sabah

Diterbitkan: Jumaat, 7 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khalid Abu Bakar.
Khalid Abu Bakar.

SEMPORNA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa pasukan keselamatan Malaysia berjaya menggagalkan percubaan kedua kumpulan bersenjata untuk memasuki Sabah dalam tempoh dua bulan.

Khalid yang mendedahkan perkara itu pada Khamis berkata, kumpulan-kumpulan itu merancang untuk memasuki timur Sabah atas sebab-sebab jenayah.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan secara lanjut dengan menjelaskan bahawa ia disebabkan oleh faktor keselamatan.

Khalid berkata, percubaan kedua berlaku pada akhir Januari tahun ini.

Pada 10 Januari lalu, Khalid memberitahu para pemberita bahawa terdapat satu pencerobohan lain ke Sabah yang dilakukan oleh pihak asing namun digagalkan oleh pasukan keselamatan Malaysia.

Beliau berkata, cubaan yang dilakukan adalah kira-kira dua minggu sebelum itu (merujuk pada minggu terakhir Disember 2013).

"Terdapat satu percubaan oleh pihak luar untuk memasuki Sabah tetapi kami berjaya menggagalkannya menerusi kerjasama dengan agensi-agensi lain, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), " katanya kepada media ketika itu.

Kedua-dua cubaan menceroboh yang digagalkan itu berlaku kira-kira setahun selepas serangan kumpulan bersenjata Sulu yang menawan Kampung Tandou di Felda Sahabat di Lahad Datu yang bermula pada 11 Februari 2013.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan