PRK Kajang: Hari Mengundi 23 Mac

Diterbitkan: Rabu, 5 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)


Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) bersama YDP MPKJ yang juga Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Kajang, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman selepas sidang media di pejabatnya di Putrajaya pada Rabu. -fotoTheStar/MOHD SAHAR MISNI
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) bersama YDP MPKJ yang juga Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Kajang, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman selepas sidang media di pejabatnya di Putrajaya pada Rabu. -fotoTheStar/MOHD SAHAR MISNI

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang ditetapkan pada 23 Mac manakala tarikh penamaan calon ialah pada 11 Mac.

Tempoh berkempen adalah selama 12 hari.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai PRK Kajang di sini, Rabu.

Sebanyak 18 pusat mengundi disediakan bagi PRK Kajang iaitu tiga bagi undi awal dan 15 untuk pengundian biasa.

Kerusi DUN Kajang diisytiharkan kosong selepas Adunnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chin Cheh meletak jawatan secara tiba-tiba pada 27 Januari lalu.

Menurut Abdul Aziz, daftar pemilih yang akan digunakan bagi PRK Kajang ialah Daftar Pemilih Induk 2012 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2013, Suku Tahun Kedua 2013 dan suku tahun ketiga 2013 yang dikemas kini sehingga 26 Jan 2014, iaitu sehari sebelum peletakan jawatan penyandang.

Katanya seramai 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya itu, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.

"Bagi tujuan pilihan raya ini, SPR akan menggunakan Kompleks Sukan MPKJ, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi," katanya.

PRK Kajang adalah yang ketiga selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Dua PRK sebelum ini ialah bagi DUN Kuala Besut di Terengganu yang diadakan pada 24 Julai tahun lalu diikuti DUN Sungai Limau, Kedah pada 4 November.

Kedua-dua kekosongan di kerusi tersebut berlaku setelah kematian penyandangnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan