Penyandang Kerusi DUN Kajang Silih Berganti Parti

Diterbitkan: Rabu, 5 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, yang terletak dalam daerah Hulu Langat, Selangor sering bertukar ganti penyandangnya dalam kalangan calon parti Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Kajang sendiri merupakan sebuah bandar yang membangun dengan kawasan industri, komersial dan perumahan serta turut mempunyai kampung-kampung tradisi dengan penghuninya aktif dalam bidang pertanian.

Ia juga mempunyai pengundi daripada pelbagai kaum.

Berdasarkan statistik Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada Mei tahun lepas, pengundi Melayu terdiri daripada 48.48 peratus, Cina (40.46 peratus) dan India (10.15 peratus).

Sejak dua PRU lepas, pada 2008 dan 2013, DUN Kajang milik PKR apabila pada 2008 calonnya Lee Kim Sin mengalahkan penyandang kerusi itu Datin Paduka Low Lee Leng daripada MCA dengan majoriti 3,268 undi.

Pada PRU ke-13, Mei lepas, calon PKR Lee Chin Cheh mempertahankan kerusi itu bagi PKR dengan memenanginya majoriti undi 6,824 dalam pertandingan enam penjuru. Kerusi itu, pada PRU 1986 dan 1990 dimenangi calon DAP, iaitu Chan Kok Kit (1986) dengan majoriti 1,651 undi dalam pertandingan lima penjuru, dan bekas Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw (1990) mengalahkan calon BN Khoo Chai Hong dengan majoriti 3,911 undi.

Pada PRU 1995, calon BN Choong Tow Chow daripada MCA mengalahkan calon PAS Dr Safie Ibrahim dengan majoriti 7,705 undi, dan pada PRU 1999 kerusi itu menjadi milik PAS apabila calonnya Dr Shafie Abu Bakar menewaskan Choong dengan majoriti tipis 37 undi.

Pada PRU 2004, BN merampas kembali kerusi itu apabila calonnya Low menewaskan calon PKR Kim Sin dengan majoriti 2,773 undi.

Kini tidak sampai setahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 5 Mei tahun lepas, pengundi DUN Kajang perlu sekali lagi membuat keputusan siapa yang mereka pilih sebagai wakil kawasan itu ke Dewan Undangan Negeri Selangor.

PKR sehari selepas kerusi itu dikosongkan wakilnya Lee pada 27 Januari, telah mengumumkan akan menurunkan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga ketua pembangkang sebagai calon parti itu untuk PRK 23 Mac ini.

Sementara itu BN masih belum membuat keputusan sama ada untuk mengekalkan calon pilihan MCA bertanding atau memberi peluang kepada calon daripada parti komponen yang lain.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof hari ini mengumumkan bahawa penamaan calon untuk PRK DUN Kajang ialah pada 11 Mac dan pengundian pada 23 Mac, bermakna parti yang bertanding diberi masa 12 hari untuk berkempen.

Sebanyak 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya itu, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan