Keselamatan Pelajar Tajaan Mara Di Mesir Dipantau - Shafie

Diterbitkan: Ahad, 2 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Keselamatan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Mesir sentiasa dipantau berikutan pergolakan yang berlaku di negara itu, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Wisma Putra dan pegawai-pegawai yang memantau keadaan pelajar dan warga Malaysia di negara itu.

"Saya berharap ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sedang menuntut di Mesir supaya jangan bimbang sangat.

"Pihak kerajaan akan mengambil langkah-langkah bagi memastikan keselamatan mereka di sana...dan dijaga dengan baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Liberal Demokratik di sini Ahad.

Mohd Shafie berkata sebahagian daripada pelajar Malaysia di Mesir telah pulang ke tanah air dan menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan.

"Bahkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menasihatkan kita (Mara) supaya mencari tempat yang selamat dan bersesuaian di negara lain (untuk pelajar tajaan Mara)," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan