PM Ucap Terima Kasih Kepada Sweden Benarkan Anak Pasangan Malaysia Pulang

Diterbitkan: Sabtu, 1 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden kerana didakwa mendera anak mereka yang enggan bersolat ketika ditemui di rumah beliau di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada Sabtu. Gambar: AZMAN GHANI / The Star
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden kerana didakwa mendera anak mereka yang enggan bersolat ketika ditemui di rumah beliau di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada Sabtu. Gambar: AZMAN GHANI / The Star

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sweden di atas pertimbangan khas yang diberikan bagi membolehkan keempat-empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di negara itu, dibawa pulang ke tanah air.

"Saya difahamkan sebelum ini amat sukar perolehi (kebenaran untuk membawa pulang), tetapi atas hubungan baik di antara Malaysia dan Sweden dan semangat Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang ditanda tangani kedua-dua negara, mereka beri persetujuan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bertemu dan bertanya khabar dengan keempat-empat anak pasangan itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini, Sabtu.

Aishah Azizul Raheem, 14, dan tiga adiknya Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, 7, tiba di kediaman perdana menteri kira-kira 1 tengah hari dengan ditemani Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan saudara-mara mereka.

Mereka yang tiba di tanah air pagi ini kelihatan lesu dan letih selepas menempuh perjalanan selama 17 jam dari Stockholm, namun kelihatan ceria apabila bertemu Najib dan Rosmah yang menyambut ketibaan mereka.

Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal ditahan pihak berkuasa Sweden untuk siasatan pada 18 Dis lepas atas dakwaan memukul tangan seorang daripada anaknya kerana tidak solat.

Mereka tiba kira-kira 7.04 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang dari Stockholm menaiki pesawat Malaysia Airlines.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada Hamzah kerana menjalankan tugas dengan baik sehingga berjaya membawa balik kanak-kanak tersebut agar kebajikan dan kesejahteraan mereka terjamin dan psikologi mereka tidak terganggu dengan tekanan yang dihadapi di negara itu.

"Saya juga dimaklumkan bahawa ibu bapa mereka bersetuju supaya anak-anak mereka ditempatkan bersama ibu saudara mereka di Kelantan, kita akan uruskan mereka untuk pergi ke Kelantan dan sekiranya ada apa-apa keperluan kita akan bantu," katanya.

Beliau berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat pemantauan secara berkesan agar keempat-empat beradik itu dijaga dengan baik dan terlepas daripada mengalami sebarang tekanan perasaan akibat kesukaran yang dialami sepanjang penahanan ibu bapa mereka.

Najib berkata kerajaan juga akan berusaha sedaya-upaya membantu ibu bapa mereka yang masih dalam tahanan reman oleh pihak berkuasa Sweden dalam mempertahankan kes mereka mengikut undang-undang yang diamalkan di negara itu.

"Kita terpaksa terima hakikat undang-undang khas telah wujud di Sweden, jadi kita terpaksa mengambil apa-apa tindakan untuk pertahankan ibu bapa mereka berdasarkan kepada tuntutan undang-undang dan kaedah tertentu yang diamalkan di sana.

"Bagaimanapun, kita akan cuba sedaya-upaya untuk membantu ibu bapa mereka," kata Najib dan menurutnya kisah malang empat beradik itu amat menyentuh hati dan perasaannya sebagai seorang bapa.

Dalam pada itu, selaras dengan sifat keibuannya, Rosmah dalam menyatakan kebimbangannya ke atas kesejahteraan anak-anak itu sebelum ini turut membayangkan kesediaannya untuk menghadap Raja dan Permaisuri Sweden untuk meminta bantuan mereka, sekiranya empat beradik itu tidak dapat dibawa pulang ke negara ini.

"Saya ada terfikir hendak ke sana (Sweden) menghadap Raja dan Permaisuri Sweden untuk meminta bantuan mereka, tetapi alhamdulillah, sebelum saya sempat ke situ, Hamzah berjaya bawa mereka balik.

"Saya harap saudara mereka akan menjaga mereka dengan baik seperti anak sendiri, dan saya akan bantu sekiranya ada masalah," katanya.

Anak sulung pasangan itu, Aishah berkata beliau gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Hamzah dan Najib serta isteri kerana berjaya membawa mereka pulang ke Malaysia.

"Kami berasa amat gembira apabila (pesawat) kami mendarat, kami berterima kasih kepada Datuk Seri dan Datin Seri kerana membantu membawa kami pulang ke Malaysia," katanya ringkas mewakili adik-adiknya.

Ibu saudara mereka iaitu adik kepada Shalwati, Shaleena Norshal, 42, yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak itu berkata mereka akan pulang ke Kelantan sama ada Sabtu atau Ahad.

"Kami amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan rakyat yang tidak putus-putus berdoa dan mengadakan solat hajat untuk mereka sekeluarga," katanya.

Tahanan reman Azizul Raheem yang merupakan pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya Shalwati, guru yang bercuti tanpa gaji, dilanjutkan sehingga 10 Feb ini bagi membantu siasatan kes itu.

Keempat-empat beradik itu sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden menyebabkan mereka meluahkan rasa tidak selesa akibat perbezaan agama dan budaya. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan