Khalid Samad Akui Kepimpinan PKR Alami Krisis

Diterbitkan: Jumaat, 31 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khalid Samad.
Khalid Samad.

SHAH ALAM: Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pada Khamis mengakui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dikosongkan bagi menyelesaikan krisis dalaman yang berlaku dalam kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, tindakan Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat Kajang dilihat sebagai wajar dalam usaha mengatasi masalah PKR.

"Masalah dalaman PKR itu memerlukan penyelesaian yang cepat dan segera. Maka, perletakan jawatan Lee itu saya lihat bukan dilakukan secara saja-saja atau main-main tanpa adanya matlamat dan objektif yang lebih besar," kata Khalid yang juga anggota Jawatankuasa Kerja PAS dalam sidang berita di pejabatnya di sini.

Khalid berkata, perletakan jawatan Lee dan pemilihan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon untuk bertanding kerusi DUN Kajang mampu menangani perbalahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali.

"Usaha untuk membawa masuk Anwar ke dalam pentadbiran Selangor juga dibuat kerana PKR percaya hanya Ketua Umum parti itu yang mampu meredakan keadaan tegang berikutan isu dalaman parti," katanya.

Mengulas dakwaan bahawa Anwar yang juga Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, bakal dipilih sebagai Menteri Besar Selangor jika memenangi pilihan raya kecil itu, Khalid berkata, isu itu tidak timbul kerana pemilihan jawatan perlu mendapat persetujuan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP.

Sekiranya ada pertukaran jawatan Menteri Besar, katanya PAS juga akan menyerahkan nama calon bagi mengisi jawatan itu.

"Soal jawatan MB (Menteri Besar) tidak timbul kerana jawatan itu tidak boleh ditentukan oleh mana-mana parti sama ada PAS, PKR dan DAP di negeri ini. PAS secara sendirian pun tidak boleh tentukan jawatan MB kerana ketiga-tiga parti (dalam Pakatan Rakyat) tidak mempunyai kerusi majoriti.

"Jika ada perubahan jawatan MB, ia perlu persetujuan daripada Majlis Presiden Pakatan Rakyat. Kalau ada yang nak tukarkan MB (Menteri Besar), PAS juga akan serahkan nama calon...tapi kalau tidak ada, tidak ada la (serahkan nama)," katanya.

Pada 28 Januari lepas, Anwar dinamakan sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil DUN Kajang.

Lee memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam persaingan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan