BN Wajar Letak Calon Tanding DUN Kajang - Pemuda Umno

Diterbitkan: Jumaat, 31 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.

KUALA TERENGGANU: Pergerakan Pemuda Umno berpendapat Barisan Nasional (BN) wajar bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Selangor.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun kekosongan di kerusi DUN itu berlaku disebabkan masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi bila adanya kekosongan, adalah wajar untuk BN menurunkan calon bertanding.

"Lebih-lebih lagi yang nak bertanding itu adalah ketua pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Jadi kita berpendapat bahawa tak boleh kita bagi laluan yang mudah kepada beliau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karnival Sukan dan Kebudayaan MAYC peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, Jumaat.

Katanya, mesej yang jelas kepada pengundi di Kajang bahawa PKR telah mempermainkan amanah rakyat apabila wakil rakyatnya Lee Chin Cheh dengan sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi DUN Kajang Isnin lepas.

"Pemimpin pembangkang itu sudah terdesak. Nak jadi perdana menteri tak dapat, jadi menteri besar pun tak apalah...," katanya.

Ditanya mengenai calon BN yang bakal bertanding kelak, Khairy berkata, biarlah Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskannya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan