SPAD Cadang Agensi Pengurusan Keselamatan Jalan Raya Distruktur Semula

Diterbitkan: Khamis, 30 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mencadangkan supaya agensi-agensi berkaitan pengurusan keselamatan jalan raya di negara ini distruktur semula bagi memastikan transformasi keselamatan industri dapat dijalankan.

SPAD menyatakan penstrukturan dari segi skop dan tanggungjawab itu penting memandangkan landskap pengurusan keselamatan jalan raya di Malaysia melibatkan beberapa agensi kerajaan.

"Satu kaedah penyelarasan skop tugas dan tanggungjawab perlu dilakukan di bawah satu agensi dengan kadar segera bagi mewujudkan mekanisme kawalan yang lebih efisien," kata SPAD dalam kenyataan di sini, malam Khamis.

Ketika ini, pemeriksaan berjadual bagi kenderaan awam dan perdagangan dilakukan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi menentukan kelayakannya berada di jalan raya.

Struktur reka bentuk setiap kenderaan awam sama ada bas atau lori serta bilangan penumpang bagi bas duduk dan berdiri pula ditentukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang juga bertanggungjawab mengeluarkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam kepada pemandu pengangkutan awam.

Menurut SPAD, ia hanya mengeluarkan lesen pengendali setelah meneliti beberapa perkara berkaitan dengan syarikat dan sekiranya terdapat keperluan serta permintaan daripada rakyat.

Bagi meningkatkan tahap kompetensi pemandu, SPAD dalam proses mengeluarkan kad pemandu untuk memantau sikap serta prestasi setiap pemandu.

Pada Ogos lepas, SPAD memperkenalkan SPAD ICOP Keselamatan yang memberi garis panduan keselamatan pratikal bagi semua pengendali bas sebagai usaha mengurangkan kemalangan.

Penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) itu juga telah dimaklumkan kepada panel penyiasat kemalangan bas di Genting Highlands pada 21 Ogos 2013.

Mengenai nahas itu, SPAD menyatakan ia akan mengkaji semua 20 cadangan dan 51 pelan tindakan penambahbaikan manual prosedur kerja setelah laporan penuh dikemukakan kepada suruhanjaya itu kelak.

Menurut SPAD bas Syarikat Genting, yang terlibat dalam nahas yang meragut 37 nyawa dan mencederakan 16 penumpang lain, telah memulakan operasinya pada 1984 iaitu sebelum suruhanjaya berkenaan ditubuhkan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan