Insiden Molotov Cocktail: Kementerian Pertahanan, Polis dan MKN Berkerjasama

Diterbitkan: Selasa, 28 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Hishammuddin
Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedia bekerjasama dengan polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengkoordinasi segala tindakan yang perlu dilakukan berhubung insiden melontar 'molotov cocktail' atau bom botol di pekarangan sebuah gereja di Pulau Pinang, Ahad.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memandang serius perkara itu, berkata beliau melihat isu berkenaan sebagai tindakan terkini polemik negara yang akhirnya diterjemah kepada perlakuan lebih agresif.

"Kita kena tanganinya dengan cukup berhemah dan saya yakin pihak berkuasa mampu mengatasinya, saya sendiri sudah melalui isu ini ketika bersama Kementerian Dalam Negeri suatu ketika dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis Malam Anugerah Sukan 2013 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira malam Ahad.

Dua bom botol itu dibaling ke pekarangan gereja berkenaan bagaimanapun tidak mengakibatkan kerosakan serius.

Insiden itu dikatakan mempunyai kaitan dengan perbuatan menggantung kain rentang bertulis 'Allah is great, Jesus is the son of Allah' di luar gereja di Lebuh Farquhar, Sungai Pinang, Pulau Tikus dan Gelugor di sini.

Sementara itu, Hishammuddin dalam ucapannya berkata beliau sedia membantu ATM dari sudut prasarana dalam usaha melahirkan atlet pelapis negara.

"Prestasi atlet bukan sahaja diukur daripada kekuatan fizikal dan mental malah memerlukan pendekatan saintifik dengan kaedah latihan yang lebih holistik," katanya.

Pada majlis itu, sejumlah 76 orang menerima anugerah dalam pelbagai kategori seperti sijil pernghargaan, sijil kepujian, tokoh jurulatih sukan, tokoh sukan dan persatuan cemerlang.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati 2013 disandang Buda Ak Anchah dari sukan bina badan serta Nur Syazwani Anuar dari sukan petanque. Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan