Jangan Hukum Pelajar Diluar Batasan - Pengarah Pelajaran Kedah

Diterbitkan: Isnin, 27 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BALING: Pengarah Pelajaran negeri Kedah Datuk Mansor Lat pada Isnin mengingatkan para guru di negeri itu agar tidak menghukum pelajar di luar batasan dan garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Malah beliau turut mengingatkan supaya para guru bersikap lebih bertanggung jawab terhadap pelajar dan tidak menghukum anak didik mereka dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi.

"Apa saja tindakan keterlaluan yang dilakukan guru terhadap pelajar mereka tidak boleh disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat," katanya selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan RM100 kepada 487 pelajar termasuk 32 pelajar Orang Asli kampung Lubuk Legong di Sekolah Kebangsaan Siong di sini.

Beliau mengulas tindakan seorang guru yang melayan dua murid tahun empat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng di Sungkai, Perak seperti lembu apabila menggantung loceng di leher dan memaksa mereka makan rumput kerana gagal menyiapkan tugasan sekolah yang diberikan, Khamis lalu.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan majlis itu, beliau turut meminta agar ibu bapa dan waris pelajar supaya memahami serta menghargai wang bantuan awal persekolahan yang diberikan kerajaan itu.

Seorang ibu pelajar Orang Asli, Norlela Rajin, 26, berkata bantuan awal persekolahan itu boleh meringgankan beban menyediakan persiapan persekolahan anaknya.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan yang memberi wang bantuan awal persekolahan untuk kami guna membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak kami," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan