Rakyat Malaysia Selamat, Tidak Terlibat Insiden Letupan Bom Di Mesir

Diterbitkan: Ahad, 26 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir dilaporkan selamat dan tidak terlibat dalam insiden letupan bom di Kaherah awal pagi Jumaat.

Kementerian Luar dalam kenyataan di sini Sabtu menyatakan rakyat Malaysia telah dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan keselamatan yang dikemas kini dan diedarkan oleh pihak Kedutaan Besar dan pihak berkuasa tempatan.

Berikutan keadaan keselamatan tidak menentu dan suasana politik di Mesir masih bergolak, Wisma Putra turut mengulangi nasihat perjalanan yang dikeluarkan sebelum ini dengan menyeru rakyat Malaysia supaya menunda dan menjadualkan semula rancangan perjalanan mereka yang kurang penting ke Mesir.

Selain itu, Wisma Putra akan terus menyelaras dan berhubung dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah untuk memantau situasi berkenaan secara dekat.

Malaysia turut menyuarakan kekesalan terhadap kemalangan jiwa yang berlaku dalam insiden itu dan menggesa semua pihak supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk keganasan.

Pada Jumaat, tiga letupan bom menggegarkan Kaherah menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, ketika rakyat negara itu bersiap sedia memperingati ulang tahun ketiga kebangkitan rakyat pada 2011. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan