Filipina-MILF Meterai Lampiran Terakhir Perjanjian

Diterbitkan: Ahad, 26 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada Sabtu menandatangani lampiran terakhir dalam Rangka Kerja Perjanjian mengenai wilayah Bangsamoro dengan harapan untuk membawa keamanan dan kemakmuran di Mindanao, selatan Filipina.

Selain itu, kedua-dua pihak itu turut menandatangani syarat tambahan mengenai perairan Bangsamoro pada hari terakhir perbincangan penerokaan rasmi ke-43 antara panel perunding daripada kedua-dua pihak yang bermula di sini sejak Rabu lepas.

Pengerusi panel kerajaan Filipina, Prof Miriam Coronel-Ferrer dan pengerusi panel MILF, Mohagher Iqbal menandatangani dokumen-dokumen tersebut di hadapan fasilitator Malaysia, Datuk Tengku Ab Ghafar Tengku Mohamed.

Lampiran Normalisasi menyediakan butiran proses normalisasi di mana pejuang MILF dan komuniti mereka boleh kembali menikmati kualiti hidup yang diinginkan.

Kata sepakat yang dicapai pada rundingan kali ini membuka jalan kepada usaha menandatangani Perjanjian Menyeluruh Mengenai Bangsamoro (CAB) dengan harapan untuk menamatkan konflik berdarah di Mindanao sejak 40 tahun lepas.

Dalam sidang media kemudian, Mohagher mendedikasikan pencapaian pada Sabtu untuk semua penduduk Bangsamoro.

Sementara itu, Prof Miriam menganggap kata sepakat yang dicapai itu akan menjadi tanda mercu untuk membina masa depan Bangsamoro.

"Masa depan di mana kita berharap semua impian dan aspirasi untuk keamanan dan pembangunan bukan sahaja untuk Bangsamoro di Mindanao tetapi untuk seluruh negara.

"Ia juga menandakan bermulanya satu cabaran yang lebih besar menjelang pelaksanaan perjanjian. Kami komited untuk mengekalkan integriti proses ini daripada peringkat rundingan sehingga proses pelaksanaan.

Kerajaan Filipina dan MILF telah menandatangani Rangka Kerja Perjanjian Mengenai Bangsamoro pada 15 Oktober 2012.

Kedua-dua pihak itu juga menandatangani lampiran mengenai aturan peralihan dan modaliti (Februari 2013), perkongsian penjanaan hasil dan kemewahan (Julai 2013) dan perkongsian kuasa pada Disember 2013.

Rangka Kerja Perjanjian itu menggariskan ciri-ciri am berhubung penyelesaian politik antara kerajaan Filipina dan MILF.

Ia turut menggariskan prinsip, proses dan mekanisme peralihan sehingga pilihan raya pada 2016 bagi kuasa entiti politik dikenal sebagai bangsa Bangsamoro bagi menggantikan Kerajaan Autonomi Wilayah Islam Mindanao (ARMM). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan