Isu Kalimah Allah Perlu Diselesaikan Kerajaan Negeri Selangor - Khairy

Diterbitkan: Khamis, 23 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor perlu mengambil langkah bagi menyelesaikan isu kalimah Allah, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam kes rampasan Bible berbahasa Melayu di premis Persatuan Bible Malaysia (BSM) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) awal bulan ini.

Khairy berkata ini kerana bidang kuasa hal ehwal agama kecuali bagi Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang - adalah di bawah bidang kuasa enakmen agama negeri.

Beliau berkata bagi kerajaan persekutuan, ia tetap dengan komitmen 10 jalan penyelesaian berhubung isu itu.

"Perkara ini merupakan antara tiga keputusan yang dipersetujui Kabinet berhubung isu itu semasa mesyuarat mingguannya semalam.

"Kedudukan kita (Kabinet) jelas. Kerajaan Persekutuan komited dengan 10 jalan penyelesaian. Tetapi penyelesaian itu tidak boleh mengatasi enakmen negeri berhubung isu agama.

"Bagi sebarang perdebatan yang akan berlaku, isu itu perlu ditangani di peringkat negeri terlebih dahulu. Masalahnya sekarang, ia adalah isu negeri," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Persidangan Pandangan Strategik Malaysia, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) ke-16 di sini Khamis.

Khairy berkata Kabinet juga bersetuju bahawa isu itu perlu dikendurkan terlebih dahulu sebelum langkah berikutnya diambil.

Sepuluh jalan penyelesaian yang dibuat pada 2011 sebelum pilihan raya negeri Sarawak, membenarkan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah "Allah" dalam Bible berbahasa Melayu mereka.

Sebelum itu, semasa menyampaikan ucapan pada majlis makan tengah hari di majlis itu, ketua pemuda Umno itu berkata persekitaran semasa berhubung kemudahan akses teknologi dan maklumat menyaksikan lebih banyak golongan muda menjadi pemimpin pendapat dalam masyarakat mereka dalam pelbagai isu melibatkan negara.

Bagaimanapun, beliau berkata kebimbangan mereka tidak akan berakhir dengan hanya menyuarakannya, namun harus juga disusuli dengan tindakan seperti pelan koheren bagi merealisasikan matlamat mereka.

"Adalah jelas bahawa belia mahu pendapat mereka diberi perhatian serius tetapi untuk melakukannya, perlu celik politik. Tanpa pengetahuan asas mengenai proses demokrasi, adalah sukar untuk merangka strategi yang akan membolehkan mereka mempengaruhi perkara-perkara di peringkat membuat keputusan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan