Sabah Beri Penghormatan Mangsa Perang Di Tugu Peringatan Petagas

Diterbitkan: Selasa, 21 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Hujan renyai-renyai sejak pagi memberikan suasana muram upacara memperingati mereka yang terkorban mempertahankan Sabah ketika penaklukan tentera Jepun semasa perang dunia kedua.

Upacara kali ke-65 di Tugu Peringatan Petagas itu didahului dengan tiupan 'Last Post' dan diikuti dengan upacara bertafakur selama 20 saat untuk mengenang mereka yang terkorban.

Menteri Tugas-Tugas Khas Negeri Datuk Teo Chee Kang kemudian meletakkan kalungan bunga mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Yang turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Joseph Guntavid dan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir.

Pada 21 Jan 1944 sebanyak 176 anggota gerila penentang Jepun yang dikurung di penjara 'Batu Tiga' diangkut ke Petagas sebelum dibunuh secara beramai-ramai.

Tapak tugu peringatan Petagas itu adalah kawasan gerila penentang Jepun berkenaan dibunuh dan dikuburkan.

Yang Dipertua PBTM Sabah Abd Sanon Sapri berharap kerajaan negeri meneruskan upacara itu bagi memberi peluang kepada generasi masa kini memperingati dan menyemarakkan lagi perasaan cintakan tanah air.

Pegawai Penerangan PBTM Adrian Dollah pula berkata persatuan itu terlibat dalam acara perbarisan pada setiap tahun sebagai menghargai pengorbanan mereka yang berjasa pada negara. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan