Shafie Apdal Nafi GiatMara Lahir Belia Sokong Umno

Diterbitkan: Isnin, 20 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa pusat GiatMara adalah tempat melatih belia untuk menyokong Umno.

Sebaliknya, beliau menegaskan GiatMara merupakan institusi latihan kemahiran bertujuan melatih rakyat Malaysia yang berhak mendapatkan masa depan yang lebih baik.

Malah, katanya, kebanyakan pelatih yang lahir dari GiatMara di seluruh negara kembali memberi sumbangan kepada ekonomi di negeri-negeri berkenaan termasuk di bawah pentadbiran pembangkang.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat 2014 GiatMara di sini Isnin, beliau berkata: "Itu (dakwaan) tidak benar. Mana ada kita latih orang menyokong Umno, tidak ada bendera Umno, tidak ada manifesto Umno pun.

"Yang kita latih ialah rakyat Malaysia yang berhak seperti mana kita tubuh universiti, kita wujudkan sekolah rendah dan menengah. Dasar persekutuan mengenai pendidikan tidak pernah berorentasikan politik. Tidak ada pendekatan seperti itu," kata Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno.

Mohd Shafie berkata kira-kira 300,000 pelatih berjaya dilahirkan GiatMara dalam pelbagai bidang kemahiran selaras dengan keperluan industri masa kini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 62,300 pelatih melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah, sebanyak 8,000 terlibat dalam bidang keusahawanan dan selebihnya menyertai perkhidmatan lain dalam sektor kerajaan dan swasta.

Selain melihat secara mendalam keperluan industri, katanya GiatMara juga berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan swasta bertujuan diselaraskan bidang kemahiran dengan keperluan industri.

Mengenai isu penutupan GiatMara di Selangor, Mohd Shafie berkata kerajaan memandang serius perkara itu dan sedang meneliti aspek perundangan sebelum tindakan sewajarnya diambil dalam masa terdekat.

Di SHAH ALAM, Badan Perhubungan Umno Selangor mendesak kerajaan negeri Selangor mengeluarkan surat baharu kepada GiatMARA Selayang sebagai jaminan ia diberi peluang untuk kerja menaik taraf.

Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata jika kerajaan negeri bersetuju memberi tempoh setahun kepada pusat latihan itu membaiki kemudahan dan operasinya, satu arahan perlu dikeluarkan supaya ia tidak ditutup sewang-wenangnya dalam tempoh dinyatakan.

"GiatMara masih menunggu surat yang menyatakan mereka diberi peluang untuk menaik taraf tempat itu dalam tempoh setahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor ke-11.

Turut hadir bekas Menteri Besar Tan Sri Abu Hassan Omar dan Presiden Mubarak Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Rahman. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan