NGO Hantar Memorandum Tuntut Pembebasan Pasangan Malaysia Di Sweden

Diterbitkan: Isnin, 20 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kes pasangan Malaysia ditahan pihak berkuasa Sweden setelah didakwa memukul anak mereka yang tidak bersolat, terus mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) negara ini yang antara lain menuntut pembebasan mereka.

Hari ini, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia dan Dewan Ekonomi Dan Sosial Muslim Malaysia menghantar memorandum membantah penahanan pasangan itu kepada Kedutaan Sweden di Malaysia di sini.

Pengerusi Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia Amir Amsaa Alla Pitchay berkata pihaknya melihat penahanan itu sebagai melanggar hak asasi seorang Muslim.

"Memorandum ini memohon kerajaan Sweden membebaskan pasangan suami isteri itu," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen itu kepada wakil kedutaan, Sven Theus Malmberg Isnin.

Beliau berkata Malmber berjanji akan meneliti memorandum itu tindakan lanjut.

Presiden Dewan Ekonomi Dan Sosial Muslim Malaysia Mohd Fazil Abdullah pula meminta kerajaan Sweden lebih peka dengan situasi melibatkan masyarakat Islam di negara itu dan tidak mudah menjatuhkan hukuman.

"Mereka boleh memberi amaran terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan. Apa yang dilakukan sekarang begitu drastik," katanya.

NGO berkenaan mengulas mengenai penahanan pasangan itu pada 18 Dis lepas hingga menyebabkan empat anak mereka yang berusia antara tujuh dan 14 tahun ditempatkan bersama-sama keluarga angkat yang disediakan pihak Khidmat Sosial Sweden.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Sedunia Sheikh Abdul Kareem S. Khadaied berkata penahanan pasangan Malaysia itu melanggar Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1948 yang ditandatangani Sweden.

"Kami melihat tindakan ini sebagai tidak menghormati Islam. Kami minta kerajaan Sweden supaya menghormati Islam," katanya dalam sidang media yang dihadiri pelbagai NGO Islam di sini. Seorang wakil badan peguam bebas, Ahmad Zaidi Zainal pula berkata pihaknya akan ke Sweden dalam masa terdekat bersama-sama wakil keluarga pasangan itu untuk mengikuti perkembangan kes berkenaan.

"Kami ingin tahu status sebenar kes. Ada banyak versi termasuk kononnya pasangan itu akan dituduh atau dibebaskan pada 26 Jan ini dan sebagainya.

"Kami juga berharap anak-anak mereka segera memberi keterangan siasatan supaya boleh dibawa balik ke Malaysia. Itu misi kita," katanya.

Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Islam Datuk Jamal Md Yunus turut mendesak Kedutaan Sweden di sini menjelaskan bentuk penyelesaian kes itu, selewat-lewatnya Jumaat ini.

"Kita desak (Kedutaan Sweden) ambil langkah lebih proaktif dan cepat supaya perkara ini dapat diselesaikan segera. Rakyat perlu tahu senario yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Rosni Zahari meminta Wisma Putra mengatur perbincangan dua hala antara kerajaan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Kerajaan perlu campur tangan menyelesaikan perkara itu dan berusaha membawa balik anak pasangan itu sementara menunggu keputusan berhubung penahanan ibu bapa mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di KOTA BAHARU, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Mumtaz Md Nawi berkata kedutaan Malaysia di Sweden perlu dibenarkan mengambil alih penjagaan anak pasangan itu.

"Sekarang ini belum ada pertuduhan, siasatan sudah sebulan dijalankan. Kita mahu segerakan. Anak-anak ini mesti dijaga oleh keluarga Muslim," katanya kepada pemberita. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan