Kementerian Pendidikan Galak Kerjasama Syarikat Swasta Dengan IPTA

Diterbitkan: Isnin, 20 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kamalanathan (dua dari kanan) bersama Dr Osman (kanan) ketika melawat pameran Apex di USM Pulau Pinang Isnin.
Kamalanathan (dua dari kanan) bersama Dr Osman (kanan) ketika melawat pameran Apex di USM Pulau Pinang Isnin.

GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan menggalakkan lebih banyak syarikat swasta menjalinkan kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam usaha melahirkan graduan yang bertaraf global.

Timbalan Menteri Pendidikan II P.Kamalanathan berkata kerjasama dari segi latihan praktikal dan program motivasi itu dapat meningkatkan daya saing siswazah IPTA dalam pelbagai bidang.

"Saya berharap kerjasama di antara IPTA dan syarikat swasta dapat diperkukuhkan khususnya dalam penyelidikan dan kajian bagi melahirkan siswazah yang kompetitif dari segi sahsiah, integriti, moral, budaya dan bersifat gobal serta mampu menerajui bidang korporat dan negara pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke USM di sini, Isnin.

Beliau berkata tahun lepas, USM berkerjasama dengan 17 syarikat termasuk bertaraf antarabangsa dalam 33 projek penyelidikan elektrik dan elektronik yang bernilai kira-kira RM8.5 juta.

Menurutnya USM, sebuah universiti Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (Apex), telah melakar pelan fasa kedua Apex bagi melahirkan lebih ramai graduan berpotensi di peringkat global.

"Saya amat kagum dengan pelan masa depan USM dan projek-projek penyelidikan yang dikenal pastinya bakal melonjakkan lagi prestasi universiti," katanya.

Antara projek berpotensi untuk diperkenalkan ialah projek halal vaksin, auto electronik dan nano biotech.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata USM bercadang memperkenal program Apex yang spesifik kepada pelajar termasuk Apex Scholar dan Apex Secondary school dalam pelan fasa kedua Apex USM untuk 2014 sehingga 2025.

"Kami akan tingkatkan usaha kerjasama dengan syarikat swasta supaya hasil-hasil penyelidikan USM akan dapat di komersilkan dengan penglibatan pihak industri," katanya.

Pada masa ini, hanya USM diiktiraf sebagai universiti Apex dengan diberi kuasa autonomi dalam bidang tadbir urus, sumber manusia (lantikan anggota sokongan, staf akademik dan pengurusan atasan), kewangan dan pengambilan pelajar.

USM merupakan Universiti Apex pertama sejak program itu diperkenalkan pada 2008 yang bertujuan meningkatkan inovasi, prestasi dan menggalakkan kecemerlangan universiti itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan