Program Empower Ecer Diperluas Ke Hulu Terengganu Dan Besut

Diterbitkan: Jumaat, 17 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DUNGUN: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan memperluas program Latihan Kemahiran Akademik ke Hulu Terengganu dan Besut tahun ini selepas kejayaan program itu di Kemaman dan Dungun.

Pengurus ECERDC Terengganu Ahmad Hashim berkata program 'Empower ECER' itu bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar serta memberi peluang pekerjaan dan kebolehpasaran belia.

"Kita sedang kenal pasti beberapa sekolah rendah dan sekolah menengah di dua daerah itu untuk membantu meningkatkan mutu akademik anak-anak di Terengganu," katanya pada majlis Program Juara Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Empower ECER daerah Dungun di Dewan Sivik Ketengah, Bukit Besi hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Roslee Daud yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi.

Setakat ini, program itu dilaksanakan di 11 lokasi di bawah Wilayah ECER dan tahun lepas, sebanyak 160 murid Tahun Enam dan 120 pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima menyertai program itu di Dungun.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 146 pelajar UPSR dan PMR mendapat keputusan cemerlang...ini menunjukkan program itu membantu meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar terutamanya dari luar bandar," katanya.

Sempena program itu, seramai 146 pelajar cemerlang menerima wang tunai RM100 seorang dan sijil dari pihak ECER. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan