Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora Hingga Isnin

Diterbitkan: Jumaat, 17 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora kategori tiga yang melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, kawasan pedalaman Pantai Barat dan Kudat di Sabah, Labuan dan Sarawak, dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya pada Jumaat menyatakan angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak melebihi 5.5 meter adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur juga terdedah kepada kenaikan paras air laut.

Angin kencang Timur Laut kategori dua yang melanda kawasan perairan Sandakan, Sabah pula dijangka berterusan sehingga Isnin dengan angin kencang berkelajuan antara 50-60 km/jam dan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Angin kencang Timur Laut yang melanda perairan Tawau, Semporna dan Lahad Datu, Sabah juga berterusan sehingga Isnin dengan kelajuan angin 40 dan 50 km/jam serta ombak mencapai ketinggian 3.5 meter. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan