Najib Mahu Bawa Perjuangan Allahyarham Tun Razak Ke Peringkat Lebih Tinggi

Diterbitkan: Rabu, 15 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perjuangan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein membangunkan Felda dan kawasan luar bandar harus dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Perdana Menteri berkata, semangat perjuangan itu adalah untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih berjaya dan cemerlang pada masa hadapan.

"Selain legasi yang ditinggalkan Allahyarham Tun Razak, yang penting ialah perjuangan Allahyarham yang berjaya menghasilkan masyarakat Melayu kelas menengah serta mengubah untung nasib masyarakat Melayu pada masa dulu," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis tahlil memperingati 38 tahun kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Razak yang juga Perdana Menteri kedua, di Masjid Ar Rahah di Pantai Dalam di sini, Rabu.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohamad Noah; anggota keluarga Perdana Menteri dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad.

Majlis anjuran Felda itu turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta lebih 1,000 orang termasuk warga Felda dari seluruh negara.

Majlis dimulakan dengan solat maghrib diimamkan oleh Mohammad Akmal Abdul Aziz diikuti dengan bacaan surah yasin dan doa tahlil yang dipimpin oleh imam Masjid Kampung Baru, Abdul Ahad Abu Bakar.

Ini diikuti dengan solat Isyak, bacaan selawat ke atas Nabi serta majlis makan malam.

Isa dalam ucapannya berkata Felda dan Allahyarham Tun Razak tidak dapat dipisahkan kerana Allahyarham merupakan pengasas Felda.

Majlis tahlil ini turut diadakan di semua masjid Felda di seluruh negara dan merupakan satu acara tahunan, katanya.

Allahyarham Tun Razak menghembuskan nafas terakhir di London pada 14 Januari 1976 kerana leukimia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan