Tiada Sekolah Tamil Akan Ditutup - Palanivel

Diterbitkan: Isnin, 13 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

G.Palanivel
G.Palanivel

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel memberi jaminan bahawa tiada sekolah Tamil yang menghadapi masalah kurang enrolmen pelajar akan ditutup.

Katanya, sekolah itu sebaliknya akan dipindahkan ke kawasan yang mempunyai kadar kepadatan penduduk India yang lebih tinggi.

"Ini adalah janji kerajaan kepada masyarakat India, tiada satupun sekolah Tamil akan ditutup.

"Malah, MIC akan mewujudkan lebih banyak kesedaran supaya lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Tamil," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan barangan perayaan Ponggal kepada penghuni rumah pangsa Sri Pahang di Bukit Bangsar, di sini Ahad.

Palanivel berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah penurunan pelajar di sekolah-sekolah Tamil.

Bilangan pelajar yang mendaftar di sekolah-sekolah Tamil menurun daripada 97,000 pelajar pada tahun lepas kepada 92,000, tahun ini.

Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menegaskan bahawa MIC akan memastikan kemajuan berterusan 523 sekolah Tamil yang terdapat di negara ini.

"Pembinaan tujuh Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil utama yang baharu akan bermula tidak lama lagi," katanya tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai tempoh tersebut.

Dalam perkembangan lain, Palanivel berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan kemungkinan masyarakat India memperoleh tanah untuk tujuan pertanian dan perladangan.

Perayaan Ponggal (pesta menuai) akan disambut masyarakat Tamil di Malaysia pada Selasa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan