Bantuan Banjir Catat Sejarah, Beri Sumbangan Produk Bernilai RM5,000

Diterbitkan: Isnin, 13 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) melihat peti sejuk yang akan diberikan kepada mangsa banjir sewaktu tiba pada majlis penyampaian bantuan mangsa banjir dan meraikan sukarelawan peringkat Negeri Terengganu di Kemaman pada Ahad.
Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) melihat peti sejuk yang akan diberikan kepada mangsa banjir sewaktu tiba pada majlis penyampaian bantuan mangsa banjir dan meraikan sukarelawan peringkat Negeri Terengganu di Kemaman pada Ahad.

KEMAMAN: Bantuan banjir mencatatkan sejarah apabila produk berupa televisyen, peti sejuk, dapur, tilam dan bantal bernilai RM5,000 disumbangkan kepada setiap keluarga mangsa banjir di Terengganu.

Bantuan banjir peringkat nasional itu, yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu rakyat yang ditimpa musibah.

Antara produk yang diterima mereka ialah peti sejuk yang disumbangkan Umno, televisyen sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta bantal dan tilam sumbangan Kelab Putera 1Malaysia.

Selain itu, seramai 19,205 keluarga terbabit banjir di Terengganu turut menerima bantuan wang tunai RM500 daripada kerajaan pusat dan RM1,500 daripada kerajaan negeri.

Ketika berucap pada majlis itu, Najib berkata kerajaan BN sentiasa bersama rakyat dengan membantu mereka ketika susah dan senang.

"Tidak pernah dalam sejarah sebelum ini, dalam satu majlis, pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat. Kalau ikut dasar kita, kita beri sumbangan RM500 kepada setiap keluarga. Tapi tinjauan saya semasa banjir, kalau kekal (jumlah bantuan itu), tidak berbaloi berbanding kerugian yang dipikul," katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan, parti politik dan badan bukan kerajaan mengambil inisiatif memberikan bantuan tambahan bagi meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah itu.

"Kita fikirkan bagaimana untuk tambah bantuan. Falsafah kita, rakyat didahulukan, siapa tolong rakyat semasa susah dan senang? Bukankah kerajaan Barisan Nasional? Janganlah cuba mainkan rakyat, sekali dua kali turun, sekali dua kali singsing seluar, kononnya merekalah juara rakyat, (sedangkan) dari dulu sampai kini, Umno dan Barisan Nasionallah pembela rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir, kerajaan BN tidak pernah membezakan fahaman politik sebaliknya membantu mereka yang tidak pernah menyokong kerajaan kerana asas kemanusiaan melebihi daripada fahaman politik.

Najib berharap bantuan yang diberikan pelbagai pihak kepada mangsa banjir di Terengganu hari ini diharap dapat memulihkan semula semangat mereka untuk meneruskan kehidupan selepas ditimpa musibah itu.

Beliau berkata apa yang penting, kaedah menyampaikan bantuan itu perlulah cekap bagi memastikan mangsa banjir menerima bantuan berkenaan.

"Bagi bantuan di Terengganu ini, saya difahamkan semua diberikan kupon, jadi boleh ambil dari rangkaian kedai tertentu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Najib berkata kerajaan akan melakukan pelbagai projek bagi menangani masalah banjir di masa depan.

Menurutnya projek tebatan banjir di Kemaman bakal melibatkan kos RM480 juta manakala kos membaiki kemudahan asas yang rosak akibat banjir seperti jalan raya, jambatan, sekolah dan keperluan asas lain dijangkan menelan berbilion ringgit.

Perdana Menteri berkata semua agensi berkaitan dan pasukan keselamatan turut diminta melakukan kesiapsiagaan lebih rapi dalam menghadapi gelombang banjir berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan