Malaysia, Turki Pilih Islam Sederhana Dan Progresif - PM

Diterbitkan: Sabtu, 11 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memperkenalkan buah-buahan tempatan kepada Recep Tayyip Erdogan dan isterinya, Emine Erdogan pada majlis makan malam bagi meraikan lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Turki itu ke Malaysia di Seri Perdana di Putrajaya, Jumaat. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memperkenalkan buah-buahan tempatan kepada Recep Tayyip Erdogan dan isterinya, Emine Erdogan pada majlis makan malam bagi meraikan lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Turki itu ke Malaysia di Seri Perdana di Putrajaya, Jumaat. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia dan Turki yang berkongsi kepercayaan, agama dan nilai-nilai yang sama, telah memilih Islam yang sederhana dan progresif.

Beliau berkata kedua-dua negara juga menunjukkan Islam dan demokrasi bukan saling eksklusif tetapi saling bergantung.

"Ketika yang lain akur kepada radikalisme, kita memilih Islam yang sederhana dan progresif. Ketika yang lain semakin menjauhi prinsip demokrasi, kita berkongsi komitmen terhadap semangat dan amalan demokrasi.

"Semua keputusan ini membentuk kisah negara kita dan menjadikan kita dihormati oleh rakan-rakan," katanya dalam jamuan malam rasmi sempena lawatan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia, di Seri Perdana di sini malam Jumaat.

Erdogan yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke negara ini berlepas pulang tengah malam Jumaat.

Lawatan beliau itu amat signifikan sebagai menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Turki yang wujud pada 1964.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Erdogan, Emine dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berkata kedua-dua negara juga mempelopori model pembangunan ekonomi yang berasaskan bukan sahaja kepada penemuan kekayaan bahan galian tetapi juga kebolehan rakyat dan secara berterusan melaksanakan kepimpinan diplomatik yang diamal ketika era kegemilangan empayar Islam dahulu.

Sebagai persediaan ke arah integrasi serantau antara Turki dan Kesatuan Eropah serta Malaysia dan Komuniti Ekonomi Asean, Najib berkata kedua-dua negara mesti setanding dalam menghadapi cabaran, dan menyahut serta melaksanakan pembangunan ekonomi dan demokratik untuk rakyat.

"Dalam konteks ini saya gembira kerana pada hari ini kita bersetuju dengan Deklarasi Bersama mengenai Rangka Kerja untuk Kerjasama Strategik. Dari politik hingga perdagangan, dari pendidikan hingga pertahanan, kita meletakkan asas untuk dialog dan kerjasama yang lebih erat.

"Tugas kita sekarang ialah memastikan permulaan yang kukuh ini menjadi satu kejayaan yang berkekalan, selain menegaskan komitmen kita terhadap kerjasama ke arah pencapaian yang lebih tinggi," katanya.

Ketika Malaysia dan Turki membuka peluang kepada pelaburan dari luar, Najib berkata kedua-dua negara mesti berusaha memastikan taraf hidup rakyat yang lebih baik selain masa depan ekonomi yang lebih cerah.

"Dalam berhadapan dengan perubahan demografik dan teknologi, kita harus memperkukuh masyarakat kita dan demokrasi yang menjadi sandaran mereka," katanya.

Sementara itu Erdogan berkata kedua-dua negara telah menunjukkan Islam dan demokrasi boleh wujud secara bersama dan ini menjadi contoh yang baik kepada negara lain.

"Saya berpandangan suatu hari nanti amalan tadbir urus yang baik ini akan diikuti oleh negara lain," katanya.

Erdogan juga berkata sekalipun dalam pertemuan yang singkat dan terhad, beliau dan Najib berupaya mengambil langkah yang penting bagi kedua-dua negara.

Antaranya ialah pemansuhan visa yang membuka peluang kepada rakyat kedua-dua negara untuk saling melawat, sekali gus menyuburkan lagi hubungan kedua-dua negara, kata Erdogan.

"Turki sentiasa menerima sokongan yang baik daripada Malaysia dan saya berharap sokongan ini akan berterusan pada masa depan kerana ia amat penting bagi Turki," katanya.

Beliau juga menyifatkan dokumen kerjasama strategik yang ditandatangani pada Jumaat sebagai satu titik penting yang akan mengubah hubungan dua hala antara kedua-dua negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan