Jabatan Penerbangan Awam Tubuh Pasukan Khas Siasat Cessna Terhempas

Diterbitkan: Sabtu, 11 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada Sabtu menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pesawat Cessna 172 yang terhempas berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam, petang Jumaat.

Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata pasukan itu ditubuhkan bagi mengenal pasti punca nahas pesawat berkenaan.

"Dari pihak DCA sendiri, kami telah menghantar tiga petugas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

"Pasukan yang ditubuhkan itu juga akan menjalankan sesi temu bual bersama juruterbang pesawat itu. DCA akan menyiasat dari segi dalaman dan luaran, dari semua sudut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Azharuddin berkata beberapa jurutera dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor (KPDS) juga akan turut terlibat dalam membantu menjalankan siasatan terhadap bangkai pesawat terbabit.

Pada 5.15 petang semalam, pesawat itu dilapor terputus hubungan dengan menara kawalan DCA ketika berada di kawasan Batu Caves.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata tiga individu yang berada dalam pesawat yang terhempas ialah Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 22, Syed Haidhar Syed Zulkifli, 25, dan Shaiful Zafiq Razali, 24.

Kesemua mereka ditemui selamat kira-kira 5 pagi ini dan kini dirawat di Hospital Selayang di sini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan