Doktor Hilang Sabar, Masalah Di Hospital Sg Buloh Ganggu Tugas

Diterbitkan: Sabtu, 11 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pesakit disorong ke salah sebuah bilik pembedahan am harian Hospital Sungai Buloh, di mana masalah kerosakan pendingin hawa menyebabkan 12 daripada 22 bilik pembedahan amnya ditutup. -foto THE STAR
Pesakit disorong ke salah sebuah bilik pembedahan am harian Hospital Sungai Buloh, di mana masalah kerosakan pendingin hawa menyebabkan 12 daripada 22 bilik pembedahan amnya ditutup. -foto THE STAR

SUNGAI BULOH: Selepas tiga hari pulih daripada masalah tandas kotor dan sampah yang tidak dikutip, Hospital Sungai Buloh berdepan masalah kerosakan pendingin hawa pula yang menyebabkan 12 daripada 22 bilik pembedahan amnya terpaksa ditutup.

Kerosakan itu berlaku selepas kebakaran pada Khamis.

Semua pembedahan elektif telah ditangguhkan dan hospital yang merupakan pakar dalam pembedahan saraf, ortopedik dan tulang belakang menggunakan enam buah bilik pembedahan am hariannya untuk prosedur kecemasan bersama dua buah lagi bilik pembedahan di jabatan kecemasan.

Selain itu terdapat dua lagi bilik pembedahan di wad bersalin.

Pembedahan elektif termasuk pembedahan pinggul dan lutut, pembedahan katarak dan hernia.

Doktor-doktor di hospital itu buntu dan hilang sabar.

Beberapa orang daripada mereka mengadu tentang situasi yang berlaku kepada 'The Star' dengan berkata tiada sokongan mencukupi daripada pihak berkuasa.

"Oleh kerana isu elektrik, kita terpaksa menangguhkan pembedahan elektif. 'Radicare', yang menyediakan perkhidmatan sokongan perlu bertanggungjawab.

"Siapa yang memilih syarikat ini dan mengapa ia dikekalkan selepas berlakunya semua isu-isu ini?," kata seorang doktor kanan yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Radicare adalah sebuah syarikat yang telah menyediakan perkhidmatan sokongan bukan klinikal kepada hospital seperti kejuruteraan, penyelenggaraan, linen dan dobi serta pengurusan sisa.

Para doktor berkata hospital itu kini hanya menyediakan khidmat untuk kes-kes kecemasan.

"Kami belum mencapai tahap kritikal lagi. Bilangan pesakit yang menduduki bilangan katil adalah sama tetapi kekurangan sokongan adalah sangat mengecewakan," tambahnya.

Seorang lagi pegawai perubatan berkata beberapa kes kecemasan telah dipindahkan ke hospital lain di Selangor.

"Rupa-rupanya sebuah bilik bedah di Hospital Selayang juga ditutup baru-baru ini kerana kekurangan kakitangan pembersihan," beliau mendakwa.

"Pada masa ini suhu di dalam bilik bedah adalah terlalu tinggi untuk menjalan tugas. Sebarang suhu di atas 25°C adalah suhu persekitaran yang tidak baik untuk pembedahan atau prosedur lain."

Seorang lagi doktor terkejut kerana bilik pembedahan masih belum pulih selepas seminggu dan bertanya mengapa masa yang lama diambil untuk memperbaiki masalah tersebut.

Pemeriksaan di tingkat tiga hospital di mana letaknya pintu masuk bilik pembedahan yang tidak digunakan menunjukkan pendingin hawa tidak berfungsi dan peredaran udara yang panas dan lembab.

Keadaan di pintu masuk adalah gelap dan terdapat notis tulisan tangan memaklumkan pesakit dan kakitangan hospital supaya menuju ke bilik pembedahan am harian.

Pengawal di situ berkata masalah ini telah berterusan selama kira-kira seminggu.

Di dalam bilik itu terdapat penyental perubatan, kotak dan beg plastik sampah hitam yang diisi dengan peralatan.

Sementara itu, pengurusan hospital itu berkata masalah itu berkait dengan gangguan bekalan kuasa atau UPS.

"UPS yang baru telah dipesan untuk lapan bilik pembedahan dan akan tiba minggu depan," kata Pengarah hospital Dr Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan, Jumaat.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan masalah yang dihadapi oleh empat bilik pembedahan lain.

Dr Khalid mengesahkan bahawa beberapa kes kecemasan telah dirujuk ke hospital lain.

Beliau berkata meskipun menerima tamparan hebat mengenai dua isu iaitu kebersihan dan pendingin hawa, hospital itu masih 'masih terkawal' dan keadaan itu sedang dikendalikan.

"Isu kebersihan adalah ia tidak menepati standard kami semata-mata. Bilik mandi tidak begitu bersih seperti biasa dan sebagainya," katanya.

"Kami merawat semua kes kecemasan seperti biasa. Hanya kes-kes elektif yang sedang ditunda," katanya.

Doktor yang bercakap kepada The Star bagaimanapun menegaskan bahawa pembedahan elektif tidak bermakna prosedur itu tidak penting.

Pihak berkuasa hospital enggan mendedahkan jumlah pembedahan elektif dan kecemasan yang dijalankan sebelum berlakunya kerosakan.

Ketua Operasi Radicare untuk Hospital Sungai Buloh Aziz Jumri tidak menjawab panggilan telefon yang dibuat berulang kali.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan