Cuepacs Mahu Kerajaan Kaji Semula Kos Perbelanjaan Pati

Diterbitkan: Sabtu, 11 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula kos menanggung pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di 13 Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara.

Presiden Cuepacs Azih Muda berkata, kos tanggungan warga asing yang ditahan itu adalah terlalu tinggi dan Cuepacs mencadangkan kos itu diturunkan dari RM75 seorang kepada RM35 seorang, sehari.

Bercakap kepada Bernama di sini Jumaat, Azih berkata, kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira RM2,250 sebulan bagi seorang Pati sedangkan ada penjawat awam hanya memiliki pendapatan bulanan di bawah RM900.

"Sehubungan itu, adalah wajar kerajaan mengkaji semula kos tersebut dan kita percaya kebanyakan rakyat di negara ini pun tidak berbelanja sehingga RM75 sehari terutamanya penjawat awam yang berpendapatan rendah," katanya.

Azih berkata, kos yang tinggi sehingga mencecah RM500,000 sehari itu seolah-olah memgambarkan bahawa kerajaan memberikan layanan istimewa kepada warga asing yang memasuki negara ini secara haram.

Cuepacs berpendapat jika bebanan kerajaan itu dikurangkan, peruntukan berkenaan dapat disalurkan untuk kebajikan rakyat seperti meningkatkan gaji penjawat awat, elaun, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan sebagainya.

Pada 4 Januari lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan kira-kira RM500,000 sehari atau secara purata RM75 seorang sehari bagi menampung kira-kira 6,500 Pati yang ditahan di 13 depot tahanan imigresen di seluruh negara.

Kerajaan terpaksa menanggung PATI di Depot Tahanan Imigresen ekoran keengganan negara asal mereka menerima PATI terbabit kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Sehingga November lalu, kerajaan telah menanggung kira-kira RM2.9 juta bagi proses penghantaran PATI. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan