Satu Peratus Anggota PDRM Dikena Tindakan Tatatertib - KPN

Diterbitkan: Jumaat, 10 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khalid Abu Bakar.
Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Kira-Kira satu peratus daripada 112,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau sebanyak 1,391 orang telah dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja sepanjang tahun 2013, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, antara kes tatatertib itu ialah rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, mencemar reputasi pasukan, cuai dan ingkar arahan.

Mereka yang didapati bersalah dikenakan pelbagai jenis tindakan seperti amaran, tahan kerja, potong gaji, turun pangkat dan tahan kerja yang turut terkandung dalam Perintah Am Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Kami tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang mencemarkan reputasi pasukan dan tindakan sewajarnya akan di ambil serta merta," katanya kepada pemberita dalam wawancara khas di Bukit Aman, di sini Jumaat.

Khalid berkata, mana-mana pegawai dan anggota PDRM yang terlibat dengan kesalahan rasuah akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat.

Beliau berkata, sekiranya SPRM tidak dapat melakukan pertuduhan terhadap pegawai dan anggota PDRM yang terlibat kerana kekurangan bukti, mereka akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib PDRM untuk tindakan.

Pegawai dan anggota PDRM wajib mengisytiharkan aset yang dimiliki mereka setiap lima tahun sekali bagi memudahkan segala proses dokumentasi dan rekod dilakukan dan menjadi satu kesalahan jika mereka tidak berbuat demikian, katanya.

"Mereka yang terlibat dengan rasuah kita akan periksa aset mereka termasuk memeriksa aset yang dimiliki anggota keluarga mereka," katanya.

Sehubungan itu bagi memastikan warga PDRM tidak terlibat dengan salah laku dan pelanggaran integriti, Khalid berkata, satu jabatan akan ditubuhkan bagi mengawasi tindak-tanduk warga PDRM.

"Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang dirangka PDRM bagi memudahkan tindakan tatatertib dikenakan ke atas anggota PDRM yang terlibat dengan salah laku. Kami telah kemukakan kepada JPA dan sedang menunggu keputusan mereka," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai jaminan tahap keselamatan negara di perairan Sabah, Khalid berkata sehingga kini tujuh balai polis baharu diwujudkan di Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esszone) dengan 150 anggota ditempatkan di setiap balai.

Beliau berkata, insiden penculikan di Pulau Pom-Pom di Semporna Sabah menjadi pengajaran kepada PDRM serta agensi penguatkuasaan lain dalam membaiki setiap kelemahan yang timbul. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan