Selangor Beri Lampu Hijau Laksana Langat 2

Diterbitkan: Khamis, 9 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi lampu hijau untuk pelaksanaan Loji Air Langat 2 (Langat 2) yang tertangguh sejak 2010 dengan mencadangkan pelantikan dua pentadbir mewakili kerajaan negeri bagi merealisasikan projek berkenaan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dua pentadbir yang dicadangkan itu ialah Presiden Kumpulan Darul Ehsan, Suhaimi Kamaralzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI), Faekah Husin.

"Kerajaan Negeri pada dasarnya bersetuju dengan pelaksanaan Loji Air Langat 2 dan kedua-dua pentadbir itu dipertanggunjawabkan untuk merealisasikannya," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini pada rabu.

Langat 2 merupakan sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah yang akan merawat 1.89 bilion liter air mentah untuk disalurkan ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata rundingan penstrukturan semula industri air Selangor yang sepatutnya dimuktamadkan pada 31 Disember lepas menemui jalan buntu selepas rundingan pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air di Selangor dengan tawaran RM9.65 bilion tidak dapat diselesaikan.

Rundingan itu melibatkan Kerajaan Negeri, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta agensi Persekutuan berkaitan termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) dan empat syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Konsortium Abbas Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

"Kami percaya punca utama kegagalan penyelesaian ini adalah akibat jangkaan tidak realistik di kalangan pemegang saham yang berkenaan terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor," katanya.

Beliau mendakwa KeTTHA menerusi surat bertarikh 9 September 2013 menyatakan hasrat untuk mengambil alih hal ehwal dan pengurusan air mengguna pakai Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, jika tiada penyelesaian pada 31 Disember lepas.

Sehubungan itu, Abdul Khalid berkata beliau telah berbincang dengan Menteri KeTTHA Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semalam dan bersetuju untuk memberi kerjasama penuh kepada kementerian dan Kerajaan Pusat mengguna pakai Seksyen 14 Akta berkenaan tertakluk dengan beberapa syarat.

Antara syarat itu ialah SPAN melantik dua pentadbir yang mewakili kerajaan negeri bagi menjalankan pengurusan air kerana Selangor memiliki kebanyakan daripada aset air di negeri ini dan Kuala Lumpur.

"Perkara-perkara yang disebut di sini telah pun saya perincikan kepada YB Menteri (Ongkili) secara rasmi melalui surat yang telah saya hantar pagi ini," katanya.

Ditanya mengenai pelaksanaan kenaikan gaji dan elaun Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri yang diminta dikaji semula oleh kepimpinan Pakatan Rakyat, Abdul Khalid berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Adun Pakatan Rakyat mengenai kajian semula elaun dan gaji mereka.

"Gaji akan dibayar pada penghujung bulan ini dan perbincangan mengenainya akan dilakukan sebelum hujung Januari dan Tahun Baru Cina," katanya.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Disember lepas, Abdul Khalid mengumumkan kenaikan gaji antara 87 hingga 373 peratus membabitkan Menteri Besar, Exco, Speaker, Timbalan Speaker dan Adun Selangor berkuat kuasa 1 Januari 2014. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan