Rakyat Malaysia Mampu Tangani Waktu Sukar Dengan Belanja Berhemah

Diterbitkan: Khamis, 2 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sebuah kedai kopi di Puchong, Selangor, telah menaikkan harga minuman pada hari pertama Tahun Baharu.
Sebuah kedai kopi di Puchong, Selangor, telah menaikkan harga minuman pada hari pertama Tahun Baharu.

PETALING JAYA: Pakar ekonomi berkata, rakyat Malaysia masih mampu untuk mengawal perbelanjaan dan berbelanja dengan berhemah meskipun akan melalui tempoh tiga tahun yang sukar.

Ketua Pakar Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Illias berkata, pengguna perlu menyelaraskan corak perbelanjaan mereka dengan hanya membeli barang-barang keperluan dan mengetepikan keinginan untuk berbelanja mengikut nafsu.

Beliau berkata, tempoh tiga tahun akan datang menyaksikan peningkatan harga berikutan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun depan dan rasionalisasi subsidi yang sedang dilakukan sekarang.

"Adalah amat jelas bahawa beberapa perubahan dalam corak perbelanjaan pengguna telah berlaku. Belanjawan bulanan adalah amat penting dan perlu mengambil kira bebanan hutang, perbelanjaan tetap dan juga untuk simpanan luar jangka," katanya.

Beliau menganggarkan bagi sebuah keluarga (4 orang) yang tinggal di Kuala Lumpur, julat pendapatan isi rumah adalah antara RM7,000 hingga RM10,000, termasuk bahagian yang diperuntukkan untuk simpanan.

Suhaimi berkata, anggaran ini mengambil kira kedua-dua ibu bapa bekerja dan mempunyai dua kereta, hutang pinjaman perumahan dan bayaran pusat jagaan anak-anak merupakan perbelanjaan utama.

"10 tahun lalu, jumlah pendapatan isi rumah RM3,000 sudah mencukupi," katanya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk menyimpan wang meskipun peningkatan kos sara hidup yang tinggi memandangkan kebergantungan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sahaja tidak mencukupi.

Suhaimi berkata, kos sara hidup akan terus meningkat kerana kos mengendalikan perniagaan juga akan naik sehingga memberi kesan kepada pengguna.

"Para pengguna perlu lebih bijak dan berhemah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu ini dan berharap peningkatan yang stabil dari segi pendapatan dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Suhaimi berkata, adalah penting bagi Jabatan Statistik untuk mengemaskini kajian Pendapatan Isi Rumah dan Perbelanjaan, jadi hanya isi rumah yang benar-benar layak sahaja akan mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng berkata, sebuah keluarga (empat orang) yang tinggal di Kuala Lumpur masih mampu meneruskan hidup dengan perbelanjaan berhemah berbekalkan pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan.

Bagaimanapun, mereka akan berdepan kesukaran untuk menyimpan, terutamanya jika mereka mempunyai tanggungan seperti ibu bapa atau anak yang ramai.

"Pendapatan isi rumah sebulan sekurang-kurangnya RM8,000 akan membolehkan mereka untuk membuat simpanan. Bagi golongan berpendapatan rendah, mereka akan lebih terkesan dengan kenaikan harga dan perbelanjaan luar jangkaan seperti kos perubatan atau kecemasan keluarga," katanya.

Dr Yeah berharap untuk melihat pendapatan isi rumah terus meningkat seiring dengan peningkatan dalam pendapatan per kapita sejak 2010.

Namun, beliau berkata ketidaksamaan dari segi pendapatan telah meningkat dalam tempoh ini, jadi golongan berpendapatan rendah tidak tersenarai dalam kadar pertumbuhan negara.

"Merapatkan jurang pendapatan harus menjadi salah satu matlamat utama kerajaan yang perlu dipergiatkan," katanya.

Selain rasionalisasi subsidi baru-baru ini, Dr Yeah berkata perlaksaanan GST akan menyaksikan perniagaan tertentu menjadikan ia sebagai alasan untuk meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan.

Dr Yeah berkata berdasarkan pengalaman negara-negara lain, harga akan stabil dalam tempoh dua hingga tiga tahun perlaksaaan GST.

Oleh itu, katanya perlaksanaan yang berkesan, pendidikan dan penguatkuasaan ketat harus dilakukan bermula sekarang sehingga 2017 untuk mengelakkan pencatutan.

"Jika perkara ini tidak dibendung, ia akan menyebabkan kenaikan harga yang meluas dan tidak dapat dijustifikasikan," katanya.

Beliau menasihatkan para pengguna untuk mengamalkan perbelanjaan berhemah dan mengurangkan atau menangguhkan sebarang perbelanjaan tidak mengikut keutamaan.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan