Umat Islam Perlu Kembali Kepada Perundangan Islam - Mufti Terengganu

Diterbitkan: Selasa, 31 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Umat Islam di negara ini perlu kembali kepada perundangan Islam dalam menyelesaikan isu-isu duniawi serta soal haram dan halal, kata Mufti Terengganu Dr Zulkifli Muda.

Beliau yang berharap tahun 2014 menjadi tahun pelaksanaan perundangan Islam secara lebih berkesan dan menyeluruh, berkata apa jua hukum yang ditetapkan oleh agama wajar dipatuhi.

"Sepanjang 2013, umat Islam di negara ini menghadapi serangan daripada penyebaran Syiah dan ajaran sesat lain yang bermacam-macam bentuk. Ia ditambah dengan golongan Kristian yang hendak guna kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu mereka yang pasti boleh mengelirukan umat Islam.

"Kemudian ada pula masalah gejala sosial yang agak pelik (di Terengganu) ada kumpulan Mat Rempit yang jumlah motosikalnya sehingga ribuan buah. Ini semua adalah cabaran yang wajib diselesaikan dengan segera kalau umat Islam terus mahu pegang ketuanan di bumi yang dicintai ini," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata masalah pepecahan umat Islam juga masih tidak selesai bahkan lebih ketara apabila ada sesetengah umat Islam yang sanggup menggadaikan beberapa perkara penting semata-mata untuk mendapat sokongan bukan Islam.

"Saya secara peribadi hairan bagaimana isu yang dikatakan sebagai perkara akidah dan prinsip asas bagi umat Islam seperti penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian, isu Syiah, isu ketuanan Islam/Melayu dan seumpamanya masih ada dua, tiga atau empat pandangan di kalangan orang Islam.

"Sepatutnya dalam hal ini mesti hanya ada satu pandangan iaitu tegas mempertahankan hak dan akidah Islam yang sebenar serta bersatu menentang sesiapa yang mencabarnya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan