Pelbagai Versi Bercanggah Berhubung Kemalangan Di 'Euro Wheel'

Diterbitkan: Selasa, 31 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Timbul pelbagai versi yang bercanggah sejak kemalangan yang berlaku di permainan roda berpusing 'Euro Wheel' di tapak pesta Pulau Pinang, di mana seorang budak lelaki berusia enam tahun jatuh dari permainan itu dan kini berada dalam keadaan koma.

Walaupun operator 'Euro Wheel' menegaskan bahawa Mohamad Khairul Naimme Abu Kassim tidak jatuh dari permainan itu, bapanya mendakwa bahawa pekerja yang bertugas ketika itu membenarkan anaknya masuk.

Pengendali itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Kher berkata, beliau tidak tahu bagaimana budak lelaki itu boleh memasuki kawasan permainan dan dari mana dia telah terjatuh.

"Kami tidak akan membenarkan kanak-kanak untuk menaiki permainan dengan sendiri. Ketinggian minimum ialah 1.2 meter dan kanak-kanak mesti diiringi oleh orang dewasa dengan tiket," katanya di tapak pesta berkenaan pada Isnin.

Beliau berkata, tiada satu pintu gondola yang boleh dibuka dari dalam, dan menambah bahawa kanak-kanak lelaki itu akan terbunuh sekiranya dia terjatuh dari atas permainan roda berpusing itu pada ketinggian 30 meter.

Kher berkata, semasa kejadian pada pukul 12.50 tengah malam Sabtu, pekerja itu telah menetapkan gondola kembali kepada kedudukan asal setelah memastikan tiada penumpang berada di dalamnya.

"Ketika itulah apabila mereka mendengar bunyi dentuman yang kuat dan melihat budak lelaki itu di platform di tempat penumpang mahu menaiki gondola," katanya sambil menambah bahawa beliau telah menjalankan operasi 'Euro Wheel' sejak 20 tahun lalu di Pesta Pulau Pinang.

Bagaimanapun, peniaga makanan Abu Kassim Yacob, 41, menegaskan bahawa anaknya berada dalam permainan itu dan tidak menyelinap masuk kerana dia dikenali oleh para pekerja di pesta itu.

Sementara itu, ibunya Khairul Naimme, Saadiah Samsudin, 40, berkata anaknya tidak sabar untuk menduduki Darjah Satu pada Khamis.

"Dia begitu teruja untuk pergi ke sekolah seperti kakaknya yang juga belajar di SK Kebun Sireh," katanya dengan sebak.

Satu tinjauan di Hospital Pulau Pinang pada Isnin menunjukkan bahawa kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil di unit rawatan rapi pediatrik.

Ketua Polis Daerah George Town, ACP Gan Kong Meng berkata, polis masih menunggu laporan daripada pihak pengurusan pesta itu, operator, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan.

Pengarah DOSH Pulau Pinang, Mohd Anuar Embi berkata, pengendali itu telah dikeuarkan notis untuk menghentikan permainan itu dengan serta-merta.

Pesta Pulau Pinang berakhir pada Selasa.

Beliau berkata, DOSH juga telah memeriksa semua permainan sebelum pesta bermula dan mendapati tiada masalah dengan permainan roda berpusing itu.

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mokhtar Jait berkata, kedua-dua bapa dan operator taman hiburan itu, Green City Amusement Fair Enterprise telah membuat laporan polis.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan