Langkah Pemotongan Perbelanjaan Sektor Awam Contoh 'Kepimpinan Melalui Teladan'

Diterbitkan: Selasa, 31 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebelas langkah penjimatan perbelanjaan yang diumumkan oleh kerajaan pada Isnin merupakan contoh 'kepimpinan melalui teladan' dalam menggalakkan rakyat untuk turut sama berjimat-cermat.

Bekas Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Jalilah Baba berkata ia merupakan langkah bertanggungjawab dan menunjukkan betapa seriusnya kerajaan dalam usaha mengurangkan perbelanjaan, sekali gus merupakan contoh kepimpinan melalui teladan.

"Kerajaan sanggup berkorban untuk bersama-sama rakyat dalam usaha penjimatan tersebut. Langkah ini diharap dapat dicontohi oleh semua lapisan masyarakat Malaysia dalam usaha mengurangkan pembaziran seperti penggunaan elektrik, air, sistem pengangkutan dan sebagainya," kata ahli ekonomi itu ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia Dr Zukarnain Zakaria berkata langkah penjimatan oleh kerajaan itu lazim dilaksanakan oleh negara yang berhadapan dengan defisit ekonomi.

"Kerajaan memberi petunjuk bahawa mereka bergerak selari dengan rakyat dalam mengamalkan penjimatan," katanya.

Beliau berkata walaupun usaha kerajaan dianggap sebagai langkah awal yang baik dalam menguruskan negara secara lebih berhemah, ia perlu diteruskan pada masa hadapan untuk meliputi aspek yang lebih luas.

Katanya antara aspek berkenaan ialah pengurangan ketirisan, peningkatan kecekapan dan mengelak pembaziran.

"Aspek-aspek ini juga sebahagian daripada penjimatan," katanya.

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Sheikh Abd Kareem S Khadaied turut menyambut baik langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengumumkan langkah-langkah pengurangan perbelanjaan sektor awam itu.

Katanya langkah itu selari dengan prinsip Perdana Menteri yang dilihat konsisten dalam memastikan rakyat diutamakan dalam agenda pembangunan negara.

"Ini bukan sesuatu benda yang baharu. Memang sudah menjadi objektif Malaysia sejak dahulu lagi dalam memastikan perbelanjaan negara dapat dilakukan secara berhemah.

"Pembaziran yang berlaku dalam sektor awam selama ini harus dikekang. Sebagai sebuah negara Islam, saya rasa pengumuman ini merupakan satu langkah yang amat bertepatan," katanya.

Beliau turut memuji ketegasan Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai berani dalam melaksanakan langkah-langkah penjimatan tersebut.

"Para Menteri dan pegawai-pegawai yang terlibat dengan pengumuman ini haruslah melihat dari sudut positif iaitu dapat menyumbang kepada pendapatan negara yang lebih tinggi," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan parti pembangkang hari ini, Abd Kareem berkata rakyat pasti menerima manfaat melalui penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM500 juta setahun.

Pembangkang mendakwa pengumuman itu bersifat berat sebelah dan tidak menyentuh kepada perkara-perkara besar yang menyebabkan bebanan kewangan kepada rakyat.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd Monokaran Mottain berkata langkah itu dapat membantu mengurangkan kos operasi kerajaan dan mengurangkan paras defisit.

"Impaknya bagaimanapun tidak ketara memandangkan ia hanya melibatkan elaun keraian bagi kategori pegawai tertentu dan bukan secara menyeluruh," katanya.

Pada Isnin, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan 11 langkah dilaksanakan bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam mulai esok, termasuk mengurangkan 10 peratus elaun keraian menteri dan timbalan menteri.

Monokaran berkata kerajaan perlu melaksanakan langkah yang lebih drastik yang boleh menjurus kepada lebih banyak pengurangan dari segi perbelanjaan.

Antara lain kerajaan perlu meningkatkan lagi kecekapan penggunaan elektrik bagi mengelak pembaziran, mengurangkan lawatan menteri ke luar negara yang tidak perlu dan tidak produktif serta menggunakan sepenuhnya bangunan kerajaan untuk seminar dan bukan di hotel.

Kerajaan juga perlu memantau rapat jenis perbelanjaan kementerian, bagi memastikan peruntukan yang disediakan setiap tahun digunakan secara teratur dan bijak.

"Kalau masih ada baki, ia mesti dipulangkan dan tidak membazirkannya untuk tujuan lain yang tidak perlu," katanya dan menambah kerajaan boleh mengurangkan banyak dan berjimat menerusi langkah-langkah tersebut. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan