Peniaga Harap Perhimpunan Batal Supaya Pendapatan Tidak Terjejas

Diterbitkan: Isnin, 30 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Golongan peniaga sekitar ibu kota berharap sambutan ambang tahun baharu Selasa ini, tidak dicemari perhimpunan yang dikatakan untuk menggulingkan kerajaan kerana akan menjejaskan pendapatan mereka.

Tinjauan Bernama di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Dataran Merdeka di sini pada Ahad mendapati para peniaga di sekitar kawasan itu amat berharap hari terakhir 2013 akan membawa pulangan berganda kepada mereka memandangkan orang ramai akan tertumpu di ibu kota bagi mengikuti pelbagai aktiviti anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Pengurus Persatuan Perniaga dan Penjaja Lorong TAR Mahdir Jaafar, 57, berkata perhimpunan itu tidak wajar diadakan kerana kerajaan sedia ada telah dipilih rakyat berdasarkan suara majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu.

"Jika ada rasa tidak puas hati atau sebagainya, ada cara yang tepat untuk meluahkannya, bukan melalui perhimpunan yang boleh menjejaskan periuk nasi orang lain," katanya.

Perhimpunan itu, yang didakwa akan diadakan pada Selasa malam di Dataran Merdeka oleh badan bukan kerajaan, disebarkan melalui laman sosial Facebook dan Twitter, menimbulkan rasa kurang senang kepada pengurus sebuah hotel di situ.

Pengurus Besar Swiss Hotel Roy Marshall, 34, berkata beliau berharap perhimpunan itu tidak akan diteruskan memandangkan hotel beroperasi 24 jam dan berada hampir dengan Dataran Merdeka.

"Jika mereka bertegas untuk berhimpun, penganjur perlu pastikan ia berlangsung dalam keadaan aman. Perhimpunan akan tetap menyukarkan pengunjung dan pekerja untuk datang ke hotel kerana bas dan teksi tidak boleh melalui jalan ini.

"Tetapi, jika berlaku kekecohan seperti perhimpunan Bersih 2.0 (pada 9 Julai 2007), pintu kaca hotel pecah dan lif rosak kerana terlampau ramai yang merempuh masuk, kononnya untuk berlindung," katanya.

Beliau berkata sekeping pintu kaca hotel memerlukan RM5,000 untuk diperbaiki dan pada perhimpunan itu, dua pintu kaca didapati rosak.

Sementara itu, pekerja kedai runcit Namneet Singh, 25, berkata dia masih ingat kejadian perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 apabila terpaksa berkurung di dalam kedai selama enam jam.

"Walaupun tidak ada kekerasan berlaku, saya takut untuk keluar. Hanya duduk diam di dalam (kedai). Nasib baik kedai runcit, jadi boleh makan makanan ringan dan tidak lapar sangat dalam tempoh itu," katanya.

Namneet, yang telah tujuh tahun bekerja di situ, berkata dia juga masih trauma dengan pengalaman 'disimbah' gas pemedih mata semasa dalam perjalanan ke kedai pada perhimpunan Bersih 2.0.

"Saya harap mereka yang tidak terlibat dengan perhimpunan itu nanti tidak mengalami nasib seperti itu. Kami berada di sini hanya cari makan," katanya.

Bagi Sheikh Shafqat Ali, 52, dia sedih jika perhimpunan itu diteruskan kerana baru sahaja berpindah ke Jalan Tuanku Abdul Rahman sebulan lalu, selepas mendapati kawasan itu sesuai untuk berniaga kain dan tudung.

Peniaga itu, yang sebelum ini berniaga di Sentul dekat sini, berkata kedainya masih dalam proses pengubahsuaian dan berharap waktu perniagaan boleh berjalan seperti biasa Selasa ini bagi memastikan kerja-kerja pengubahsuaian dapat diteruskan.

"Sekarang ini, saya masih tidak tahu sama ada perlu atau tidak untuk pendekkan waktu perniagaan.

"Susah macam ini. Berniaga macam kami ini bermaksud setiap hari adalah 'income'. Jika tutup macam mana? Apatah lagi esoknya (1 Jan 2014) adalah cuti umum, jadi pelanggan lebih ramai," katanya.-BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan