Amaran Ribut Petir Di Beberapa Perairan Negara Sehingga Subuh Isnin - Berita Semasa | mStar

Amaran Ribut Petir Di Beberapa Perairan Negara Sehingga Subuh Isnin

Diterbitkan: Ahad, 29 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Sarawak, Labuan dan Pantai Barat Sabah dijangka berterusan sehingga sebelum subuh Isnin.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.

Ribut petir juga berlaku di kawasan perairan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor barat, yang menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter, dijangka berterusan sehingga sebelum subuh Isnin.

Keadaan ini juga berlaku di kawasan perairan Reef North, Bunguran, Layang-Layang dan Palawan yang menyebabkan angin kencang melebihi 60 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 5.5 meter, yang juga dijangka berterusan sehingga sebelum subuh esok.

Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk menangkap ikan, pekerja di pelantar minyak serta perkhidmatan feri.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan