Yayasan Sultan Azlan Shah Sumbang RM1.6 Juta Kepada IJN, Dua NGO

Diterbitkan: Sabtu, 28 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada Sabtu berkenan menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) berjumlah RM1.6 juta kepada Institut Jantung Negara (IJN) dan dua badan bukan kerajaan bagi membiayai aktiviti badan berkenaan.

Baginda menyampaikan sumbangan masing-masing sebanyak RM1 juta kepada IJN, RM500,000 kepada Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun (PKKTB) dan RM100,000 kepada Persatuan Diabetis Malaysia.

Turut berangkat pada majlis yang berlangsung di IJN di sini ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Tuanku Zara Salim.

Sumbangan kepada IJN, yang merupakan tanda bangga baginda terhadap pencapaian serta usaha yang dijalankan institut perubatan itu dalam menyediakan rawatan kardiovaskular dan torasik kepada pesakit jantung, diterima Ketua Pegawai Eksekutif IJN Tan Sri Dr Robaayah Zambahari.

Sumbangan YSAS itu bertujuan menyokong usaha berterusan IJN dalam meningkatkan standard perubatan dengan melibatkan pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan, skim latihan sokongan dan kerjasama dengan pertubuhan perubatan antarabangsa.

Sultan Azlan Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan untuk PKKTB kepada anakanda baginda, Raja Datuk Seri Azureen, yang merupakan pengerusi pusat itu.

PKKTB yang dinaungi Tuanku Bainun merupakan pusat yang dibangunkan bagi membolehkan kanak-kanak mendapat pendidikan amali melalui pengalaman langsung daripada pelbagai aktiviti yang disediakan secara percuma, khusus bagi kanak-kanak lingkungan umur enam hingga 16 tahun, termasuk kanak-kanak kurang upaya.

Sumbangan untuk Persatuan Diabetes pula diterima presidennya Prof Datuk Dr Ikram Shah Ismail. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan