Tindakan Tegas Terhadap Pihak Naikkan Harga Alat Tulis & Buku

Diterbitkan: Jumaat, 27 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia berdepan tindakan tegas di bawah Akta Persaingan 2010 jika menaikkan harga barang sesuka hati.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek menegaskan antara tindakan yang boleh dikenakan terhadap persekutuan itu ialah denda, penutupan premis perniagaan selain barang jualan dirampas.

Beliau berkata tindakan itu boleh diambil kerana rancangan persekutuan untuk menaikkan harga barang merupakan aktiviti kartel iaitu bertujuan mengaut keuntungan berlebihan akibat monopoli pasaran.

"Ini satu kesalahan kerana ia perbuatan kartel apabila pengusaha di bawah persekutuan bermuafakat untuk naikkan harga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jualan Kembali ke Sekolah di sebuah pasar raya besar di sini, Jumaat.

Hasan berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris tempatan pada Jumaat yang menyebut pihak persekutuan merancang menaikkan harga alat tulis dan buku antara 20 hingga 30 peratus dalam suku pertama tahun depan.

Presiden persekutuan itu Tey Tong Sing dipetik sebagai berkata kenaikan itu tidak dapat dielak susulan pelaksanaan gaji minimum serta kenaikan kos operasi termasuk pengangkutan dan sewaan premis.

Tey juga mendakwa kadar pertukaran mata wang antara Ringgit dan Yuan Renminbi turut menjadi faktor kenaikan harga barang memandangkan kebanyakan alat tulis serta buku diimport dari China.

Hasan berkata beliau akan mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) meneliti semua dakwaan persekutuan terbabit bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Mengenai Kempen Jualan Kembali ke Sekolah, Hasan menggesa lebih banyak syarikat peruncitan tampil dan menyertainya kerana ia secara tidak langsung membantu kerajaan mengukuhkan ekonomi negara.

"Program seumpama ini berkonsepkan menang-menang kerana syarikat mendapat peningkatan jualan, manakala pengguna mendapat lebih banyak pilihan dan penjimatan," katanya.

Pada majlis itu Hasan yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 150 pelajar kurang bernasib baik di sekitar Negeri Sembilan dan Pahang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan